Berita Muhamad Shafiq Mohd Ali
Foto Zulhairi Midon
PORT DICKSON, 28 Julai 2023 – Institut Alam & Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (ATMA-UKM) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Universitas Riau (UNRI) dalam usaha untuk meningkatkan kerjasama penyelidikan yang berfokuskan kepada ekologi dan persekitaran.
Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani, penyelidikan berteraskan ekologi dan persekitaran sangat penting antara dua negara kerana walaupun berlainan negara, kedua-duanya masih berkongsi kesamaan budaya.
Beliau berkata, terdapat banyak ruang kerjasama antara UKM dan UNRI yang dirangka dan akan dilaksanakan melalui MoA tersebut.
“Antaranya adalah penganjuran seminar, penerbitan jurnal dan buku, membuat modul dan produk khas untuk komuniti, penempatan pensyarah jemputan serta penglibatan warga UKM bersama dalam penganjuran program UNRI.
“Pihak UKM juga amat mengalu-alukan idea yang boleh diketengahkan bagi memperlihatkan kerjasama ini dapat dilaksanakan bagi pembangunan ekologi dan kemampanan persekitaran pada masa akan datang,” katanya.
Dokumen MoA itu ditandatangani oleh Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani, mewakili UKM, manakala UNRI diwakili oleh wakil Rektor, Bidang Perencanaan, Kerjasama dan Sistem Informasi, Dr. Ir. Sofyan Husein Siregar dan disaksikan oleh Pengarah ATMA, Prof. Madya Dr. Asyaari Muhamad dan Dekan Fakultas Perikanan dan Ilmu Kelautan, Prof. Dr. Ir. Rifardi. Pada majlis yang sama, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal turut merasmikan Seminar Antarabangsa Ke-11 Ekologi, Habitat Manusia & Perubahan Persekitaran Alam Melayu.