Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 4 Februari 2024 – Bakat yang berkualiti tinggi merupakan aset penting dalam mencapai kejayaan organisasi dan negara.
Justeru, menjadi tanggungjawab pihak pengurusan untuk mengambil inisiatif bagi mencungkil, menggilap, memantap dan mengembangkan potensi diri warganya ke arah kecemerlangan, kata Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Forum Profesionalisme Watan anjuran Unit Perkembangan Kerjaya, Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar dengan kerjasama Pusat Pembangunan Profesional dan Kepimpinan, Pusat Pengajaran dan Pembangunan Kurikulum dan Pusat Jaringan Industri dan Komuniti.
Forum ini menjadi platform untuk mengetengahkan peranan penting bakat berkualiti tinggi dalam memacu kecemerlangan universiti dan memberi sumbangan kepada kemajuan negara.
Tambahnya, UKM komited untuk melahirkan graduan beraspirasi kebangsaan yang kompeten, berdaya saing, inovatif dan dapat memanfaatkan ilmu yang diperolehi agar dapat menyumbang semula kepada pembangunan negara yang mampan.
“Agenda membangun dan memperkasa bakat, merupakan langkah pembangunan dan latihan staf yang berterusan dan digerakkan melalui perancangan latihan dan kursus dalam membentuk nilai, jati diri dan keperibadian staf.
“Menerusi nilai kebitaraan holistik, program sangkutan UKM telah dirangka yang meliputi pengiktirafan profesional, penyelidikan, perkhidmatan agensi dan sukarelawan badan kemanusiaan serta kerja komuniti di dalam dan luar negara.
“Program ini bertujuan untuk mempromosikan program sangkutan UKM yang memberi peluang kepada setiap pegawai akademik dan Pengurusan dan Profesional untuk meneroka peluang bagi mempertingkatkan kemampuan kendiri dan tahap profesionalisme perkhidmatan masing-masing,” katanya.
Dalam forum ini, enam orang panel dari pihak industri dan universiti turut berkongsi pandangan mereka tentang trend terkini dalam industri, kepentingan hubungan industri dan universiti, serta pengalaman peribadi dalam menjalankan program sangkutan.