Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 6 April 2023 – Bazar Ramadan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi platform untuk mengasah potensi keusahawanan mahasiswa serta membina pengalaman berniaga bagi menjana pendapatan sendiri.
Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin, program ini bertujuan untuk memberi peluang dan pendedahan aktiviti keusahawanan khususnya kepada usahawan siswa UKM.
Beliau berkata, berbeza dari tahun sebelumnya, bazar tahun ini lebih banyak membuka ruang kepada pelajar untuk memperkenalkan produk masing-masing sekaligus menonjolkan bakat dan kemahiran keusahawanan dalam diri.
“Seperti yang disarankan oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi, pembangunan keusahawanan di peringkat Institut Pengajian Tinggi perlu sentiasa diteruskan bagi menganjak minda pelajar daripada pencari pekerjaan (job seeker) kepada penjana pekerjaan (job creator).
“Melalui bazar ramadan ini, para usahawan siswa memperoleh pengalaman yang cukup berharga dan secara hands-on.
“Suasana Ramadan kali ini lebih meriah terutamanya bagi pelajar UKM yang baru pertama kali menyambut bulan puasa di universiti setelah dua tahun pengajian dilakukan secara dalam talian,” katanya.
Tambahnya, seramai 22 peniaga usahawan siswa turut mengambil peluang ini untuk menjual pelbagai menu juadah berbuka puasa di tapak bazar yang bersebelahan dengan Dewan Canselor Tun Abdul Razak.
Pelajar tahun tiga dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Rheeima Hari Krishnan berkata bazar ini memberi peluang dan memudahkan urusan pelajar untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan kerana mereka boleh terus ke tapak bazar sejurus tamat kelas di fakulti.
Beliau yang berniaga donut susu dan bomboloni bersama kawan-kawannya berkata, mereka berasa takut berbaur teruja kerana ini merupakan kali pertama melibatkan diri dalam aktiviti keusahawanan.
“Saya berasa gembira apabila melihat pengunjung bazar suka apa yang kami jual namun begitu, kami tidak dapat menjana hasil yang lumayan ketika hari pertama kerana tersilap aggaran stok makanan.
“Walaupun penat berniaga sambil belajar, tetapi kami sangat seronok menimba pengalaman ini,” katanya.
Para pengunjung dalam kalangan pelajar turut dilihat berbuka puasa di sekitar bazar dengan membawa tikar masing-masing. Bazar ini dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Enterprise Kecil dan Sederhana UKM dengan kerjasama Kolej Tun Hussein Onn dan Pusat Hal Ehwal Pelajar UKM, serta Persatuan Mahasiswa UKM.