Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 20 Mac 2024 – Bazar Ramadan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberi peluang kepada usahawan siswa untuk menjalankan perniagaan secara praktikal, sekaligus menjana pendapatan di bulan mulia ini.
Naib Canselor UKM, Profesor Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata bazar Ramadan ini menjadi satu platform kepada pelajar untuk mempelajari selok belok urus niaga di samping bertindak sebagai inkubator perniagaan pelajar.
“Tempoh berniaga sepanjang bulan Ramadan ini memberi banyak ruang kepada usahawan siswa untuk mengemudi landskap operasi perniagaan seperti pemasaran, kewangan, sumber manusia, pengurusan operasi dan perancangan strategik.
“Pada tahun ini, sebanyak 14 tapak diusahakan oleh usahawan siswa, empat tapak dikendalikan oleh usahawan alumni UKM dan selebihnya 26 tapak adalah peniaga komuniti.
“Kombinasi peniaga ini membolehkan usahawan siswa mempelajari teknik perniagaan melalui pemerhatian secara terus daripada usahawan komuniti yang lebih lama terlibat dalam dunia perniagaan.
“Mereka bukan sahaja bersaing sesama mereka malahan usahawan dari komuniti setempat. Hal ini sejajar dengan usaha UKM dalam memupuk jiwa keusahawanan di kalangan pelajar,” katanya.
Tambahnya, Bazar Ramadan UKM merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS UKM (UKM-CESMED) dengan kerjasama Kelab Keusahawanan Sosial UKM, Cesmed Buddies dan MyAgrosis UKM.
Pelajar dari Fakulti Sains dan Teknologi, Adam Danial Hairun Azma berkata bazar ramadan ini membolehkan usahawan siswa memperkenalkan produk masing-masing sekaligus menonjolkan kemahiran keusahawanan dalam diri.
Beliau yang mengusahakan jenama beliau sendiri iaitu Popis by Tiga Ketul berniaga di tapak yang sama dengan rakan-rakan yang lain.
“Saya menjual popia pisang, sementara itu, kawan saya jual sup cendawan dan juga minuman cha ba ang. Semuanya buat sendiri.
“Masing-masing perlu kreatif dalam memasarkan produk sendiri dan dapat bersaing secara sihat,” katanya.
Tambahnya, bekerjasama dengan kawan-kawan yang lain tidak memerlukan modal yang tinggi kerana penyewaan tapak boleh dibuat secara bersama.