Bekas Pesakit Kanser Darah Raih Anugerah Tun Abdul Razak

Oleh Nur Adriana Norahim
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 23 November 2023 – Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Sains Sekitaran), Zal Hasmi Mohamad Roslan, membuktikan bahawa semangat juang mampu mengatasi segala cabaran.

Pernah disahkan menghidap kanser darah tahap empat pada usia 16 tahun, beliau kini mengukir sejarah apabila penerima Anugerah Tun Abdul Razak sempena Majlis Konvokesyen UKM ke-52.

Mengimbas pengalaman pahitnya, Zal memberitahu bahawa diagnosis tersebut adalah akibat komplikasi kecederaan sukan.

“Saya terpaksa menjalani 17 sesi kemoterapi dan 10 sesi radioterapi. Setahun penuh saya di hospital, dan tingkatan empat terpaksa saya tinggalkan,” katanya.

Meskipun begitu, semangat beliau tidak pernah luntur. Dengan rawatan intensif dan sokongan keluarga, Zal berjaya melawan penyakitnya dan kini beliau menjalani pemeriksaan berkala untuk memastikan tahap kesihatannya sentiasa terkawal.

Bagi Zal, sokongan keluarga adalah asas kekuatannya. Ibunya seorang kerani, manakala bapanya dahulu bekerja sebagai pemandu teksi. Dalam segala pencapaiannya, Zal berpegang teguh pada prinsip untuk membanggakan kedua-dua orang tuanya.

“Hidup ini bukan sekadar untuk hidup. Saya perlu berusaha dalam setiap perkara yang saya lakukan untuk membanggakan ibu dan ayah saya,” ujarnya.

Selain kecemerlangannya dalam akademik, Zal juga aktif dalam kokurikulum.

“Saya dah terlibat dengan lebih daripada 10 pertandingan debat, lima kali ke final, tiga kali Johan,” jelas Zal, yang menjadikan debat sebagai salah satu platform untuk mengasah kemahiran berkomunikasi dan berfikir kritis.

Menjadi Johan dalam pertandingan Debat Diraja adalah antara pencapaian terbesar beliau dalam pertandingan tersebut.

Dalam bidang akademik, Zal mewakili UKM dalam persidangan ASEAN dan dianugerahkan Best Presenter atas pembentangan tentang pemeliharaan alam sekitar di Indonesia serta menerima geran USD 5,000 untuk projek penjejakan karbon inklusif di Singapura.

Minat beliau terhadap alam sekitar mendorongnya untuk terlibat dalam bidang ESG (Environmental, Social, Governance) di sektor perbankan.

“Saya perhatikan dalam industri, banyak keputusan dibuat tanpa sokongan data saintifik yang kuat dari bidang sains alam sekitar. Sebab itu, saya ingin memastikan aspek ini diberi perhatian,” ujar Zal.

“Cabaran terbesar bukanlah penyakit yang pernah dihadapinya tetapi bagaimana dia mengubah pengalaman tersebut menjadi kekuatan untuk membantu orang lain dan alam sekitar,” ujarnya.

Kisah Zal Hasmi Mohamad Roslan menjadi inspirasi kepada ramai, membuktikan bahawa dengan semangat juang yang tinggi, tidak ada rintangan yang mustahil untuk diatasi.

Leave a Reply