Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman
BANGI, 14 Januari 2023 – Program CEO Day @UKM anjuran Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsasan Malaysia (UKM) dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) sasar untuk tingkatkan kesedaran tentang kepentingan minyak sawit kepada negara dan masyarakat.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPOC, yang juga Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata perkara ini haruslah ditekankan kepada pelajar khususnya dari segi sumbangannya kepada ekonomi, peluang pekerjaan, faedah kesihatan, peningkatan taraf hidup, juga pemeliharaan alam sekitar.
“Program pendidikan dan kesedaran mengenai kelapa sawit kepada pelajar sedang giat dijalankan melalui pelbagai kerjasama dengan pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi,” katanya.
Mengulas mengenai sifat minyak sawit, Datuk Dr Parveez berkata minyak sawit mempunyai kandungan Vitamin E Tokotrienol yang paling tinggi berbanding minyak dan lemak sayuran lain.
“Minyak sawit merah kaya dengan Vitamin A dan E. Vitamin E, sebagai antioksidan penting, boleh membantu mengurangkan risiko kanser dan dalam masa yang sama melindungi terhadap penuaan sel. Kulit kelihatan lebih sihat dan berseri apabila terdapatnya Vitamin E.
“Kesihatan kulit, mata, dan tulang anda semuanya dipertingkatkan oleh Vitamin A. Malah, minyak sawit terkandung dalam hampir semua makanan yang kita makan setiap hari,” kata beliau, ketika meramikan program CEO Day@UKM.
Sementara itu, Pro-Naib Canselor Penjanaan dan Prasarana UKM, Prof. Dr. Norhamidi Muhamad berkata program CEO@UKM 2023 ini adalah untuk meningkatkan rasa ingin tahu terhadap potensi dan kualiti minyak sawit di kalangan belia Malaysia, khususnya pelajar.
“Kesedaran terhadap sumbangan besar minyak sawit sebagai salah satu komiditi terbesar dalam menyumbang ekonomi negara adalah sangat penting bagi membolehkan mereka mengiktiraf dan menghargai peranan minyak sawit dalam memacu pembangunan Malaysia.
“Program ini menjadi medan utama untuk mengetengahkan kreativiti pelajar dari segenap institusi dalam pertandingan inovasi seperti pembangunan produk makanan dan produk lestari daripada kelapa sawit,” katanya.
Program ini juga menampilkan wakil dari syarikat ternama seperti Les’ Copaque, Universiti Putra Malaysia, Domino’s Pizza Malaysia & Singapore serta MunchWorld Marketing Sdn Bhd mengetengahkan pelbagai topik berkaitan kerjaya dalam industri minyak sawit, digital dan animasi, kajian dan Penyelidikan dan pembangunan, serta trend dalam industri makanan dan keusahawanan.
Pelajar juga boleh menyerahkan resume mereka untuk permohonan latihan dan pekerjaan melalui saluran yang disediakan.
Serentak dengan acara ini juga, pameran oleh 27 syarikat yang menawarkan latihan dan pekerjaan, serta pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan, turut mengadakan pameran untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka.