Dar Al-Qari dan Yayasan RI Sumbang Lebih RM300 Ribu Kepada FPI

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Fakulti Pengajian Islam

BANGI, 12 Disember 2023 – Dar Al-Qari dan Yayasan RI menyumbangkan dana berjumlah RM367,935 kepada Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sumbangan itu diberikan oleh Pengasas dan Pemegang Amanah Yayasan RI dan Dar Al-Qari, Dato’ Haji Rizalman Haji Ibrahim dalam beberapa bentuk tajaan kepada pihak fakulti seperti pembiayaan menaik taraf ruangan pembelajaran Makmal Al-Quran Al-Qari, biasiswa pengajian serta hadiah kecemerlangan graduan pengajian sarjana dan doktor falsafah.

Daripada jumlah sumbangan itu, sebanyak RM210,000 diperuntukkan bagi menaik taraf ruang pembelajaran Makmal Al-Quran Al-Qari, RM47,935 bagi biasiswa pengajian kepada pelajar pengajian sarjana dan doktor falsafah serta RM10,000 bagi hadiah kecemerlangan graduan pengajian sarjana dan doktor falsafah selama lima tahun.

Dato’ Haji Rizalman juga merasmikan Makmal Al-Quran Al-Qari, sebuah ruang pembelajaran kondusif yang bakal dimanfaatkan oleh kira-kira 400 pelajar fakulti tersebut bagi aktiviti hafazan dan pembelajaran hadis.

Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM, Prof. Datuk Dr. Wan Kamal Mujani berkata, hubungan kerjasama strategik itu dimanifestasikan secara rasmi melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua belah pihak.

“Bagi pihak UKM, kami rasa bertuah kerana menerima dukungan dan kerjasama daripada Yayasan RI melalui Dar Al-Qari Resources yang memberi beberapa bentuk tajaan kepada pihak fakulti.

“Pihak Yayasan RI juga bersetuju memberikan penajaan geran penyelidikan bernilai RM100,000 bagi penyelidik Pusat Kajian Al-Quran dan Al-Sunnah bagi menjalankan penyelidikan berimpak kepada masyarakat Islam khususnya dalam mendokong matlamat yayasan memartabatkan Islam melalui pendidikan al-Quran,” katanya.

Leave a Reply