Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 22 Ogos 2023 – Debat Perdana MADANI yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia, semalam menjadi pentas para inteletual dan cendekiawan menjana idea dan memberi pandangan yang pelbagai berkenaan MADANI.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Debat Perdana MADANI yang menjadi Projek Negara adalah satu inisiatif khusus Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk bersama-sama mengangkat wacana Malaysia MADANI dengan lebih kritis dan kreatif.
Dalam ucaptamanya beliau menegaskan bahawa Malaysia MADANI yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim perlu diterjemahkan dalam pelbagai perspektif dengan lebih kritis dan kreatif.
“Gagasan ini diunjurkan sebagai satu etos nasional, yang bersandar pada enam prinsip utama dan prinsip-prinsip ini disusun sebagai asas kepada sebuah sistem nilai yang harus memimpin Malaysia secara rapat dan tegas dalam menguruskan negara ini dan memeta masa depannya,” katanya.
Justeru, katanya Debat Perdana MADANI itu adalah salah satu cara dan pendekatan KPT menyumbang dalam menjayakan Malaysia MADANI.
Menurutnya, secara asas, terdapat beberapa dimensi penting yang menjadi penegasan dalam menganjurkan Debat Perdana MADANI.
“Pertama, Malaysia MADANI bukan sahaja tentang sistem nilai yang unggul atau idea besar. Lebih utama, ini adalah satu seruan kebersamaan dalam memberi yang terbaik kepada tanah air.
“Sebagai sebuah kementerian yang menguruskan bakat, ilmu dan kebijaksanaan watan, Debat Perdana MADANI ini adalah saluran untuk segala kelebihan intelektual diangkat dan dikongsikan dengan negara.
“Kita mahu menggembleng segala kekuatan dan kelebihan dari segi idea dan pemikiran besar, untuk disumbangkan kepada usaha membawa kesejahteraan tanah air,” katanya.
Yang kedua, katanya, Debat Perdana MADANI ini adalah pentas untuk memperincikan strategi dan tindakan bagi menjayakan Malaysia MADANI kerana Malaysia MADANI adalah gagasan besar yang bersifat etos nasional.
“Tetapi untuk sesebuah gagasan besar itu berjaya dan mencapai matlamat murninya, kita mesti mengisi gagasan tersebut dengan cara yang betul, praktikal dan strategik.
“Idea besar yang baik, jika tidak diterjemahkan dengan cara yang berkesan, akan berakhir sebagai sekadar slogan kosong,” tambah beliau.
Dato’ Seri Mohamed Khaled berkata beliau yakin, setelah mendengar syarahan daripada semua tokoh yang dijemput, masyarakat berpeluang melihat dengan lebih jelas apakah kelebihan Malaysia MADANI sebagai sebuah gagasan negara.
Malah, katanya, melalui pembentangan itu, masyarakat yang menonton program tersebut akan dapat meneliti secara objektif apakah kekurangan yang ada, yang mesti diperbetul dan diperkukuh secara berlapang dada.
“Yang ketiga dan terakhir, saya memberi jaminan bahawa segala pengamatan serta perspektif yang dikongsikan oleh semua panel yang bijaksana hari ini, bukan sahaja sangat kita hargai, tetapi akan diberikan perhatian serius.
“Mereka adalah tokoh yang dihormati, yang kaya dengan ilmu dan pengalaman. Pentas Debat Perdana MADANI ini mengumpulkan tokoh-tokoh ulung kerana kita mahu memastikan idea-idea besar berkenaan Malaysia MADANI diuji dan dibahaskan secara terbuka dan kritikal,” katanya.
Terdahulu, enam ahli panel dari pelbagai latar belakang telah berkongsi idea berkenaan MADANI.
Bagi Bicara Sejahtera Malaysia MADANI, slot ini menampilkan bicara santai tentang senario Malaysia MADANI dari sudut sosial dan ekonomi yang menampilkan pakar ekonomi terkenal Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali dari UKM, pakar kajian tamadun Prof. Dato’ Dr. Azizan Baharuddin dari Universiti Malaya (UM) dan pakar kajian sosial Dr. Charanjit Kaur dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). Slot ini dimoderatorkan oleh Pendakwah terkenal tanah air, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim dari UKM.
Sesi Pembentangan 3 Panel pula menampilkan pakar kajian tamadun kelahiran Turkiye dari Qatar iaitu Prof. Dr. Recep Senturk yang membentangkan tajuk MADANI in The Context of Modernity dan Prof. Dr. Din Syamsuddin yang merupakan Guru Besar Politik Islam Global dari Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah Indonesia, yang membentangkan tajuk Memberi Makna Kepada Sebuah Negara MADANI. Seorang lagi pembentang adalahSasterawan Negara, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang membentangkan tajuk Peranan Cendekiawan Dalam Membangun Bangsa MADANI. Slot ini dimoderatorkan oleh Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.