Oleh Preti Kaur Gill dan Murniati Abu Karim
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 1 Disember 2023 – Dua anak sulung perempuan, Karmila Rafiqah Mohd Rafiq Anbarasan dan Siti Hasanah Osman memenangi Anugerah Emas Kedoktoran di Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-51.
Pelajar Kedoktoran Fakulti Pendidikan, Karmila Rafiqah Mohd Rafiq Anbarasan telah berjaya menamatkan pengajian kedoktoran dengan pembangunan modul pembelajaran melalui aplikasi mudah alih ME4STEM.
Modul ini direka khusus untuk membantu meningkatkan penguasaan kosa kata Bahasa Inggeris dalam konteks Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau STEM dalam kalangan pelajar di peringkat sekolah menengah atas.
Aplikasi beliau telah memenangi Anugerah Khas dan Pingat Emas di 7th International Invention in Innovation Competition di Canada.
“Hasil kajian menunjukkan bahawa ME4STEM mendapat sambutan yang positif daripada pelajar dan berkesan.
“ME4STEM diharapkan dapat melahirkan lebih ramai modal insan dalam bidang STEM yang mempunyai kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris untuk membantu proses pembangunan dan kemajuan negara serta kesejahteraan rakyat sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan,” katanya.
Sementara itu, Siti Hasanah Osman, pelajar Kedoktoran Institut Sel Fuel (SELFUEL) menamatkan pengajian kedoktorannya dengan kajian penggunaan tenaga hijau melalui sel fuel dan hidrogen sebagai bahan bakar.
“Sel Fuel adalah peranti yang mengubah tenaga kimia menjadi tenaga elektrik tanpa memerlukan infrastruktur grid, dengan komponen utama seperti mangkin dan membran.
“Mangkin platinum, yang mahal, menjadi cabaran, tetapi kajian ini berhasil mencipta Titanium Dioksida-Grafin Aerogel (TiO2-GA) sebagai penyokong mangkin yang ringan tetapi kuat.
“Hasil kajian ini berjaya menghasilkan sepuluh artikel yang berimpak tinggi dan inovasi dalam teknologi mesra alam yang menyokong dasar Tenaga Hijau Negara,” katanya.