Oleh Khairatul Nadia
BANGI, 19 Februari 2024 – Pensyarah dan pakar perubatan dari Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Ima Nirwana Soelaiman dan Dr Wong Sok Kuan telah berjaya meraih Anugerah Utama dalam kategori Karya Suntingan Terbaik Sains, Teknologi dan Perubatan pada Anugerah MAPIM (Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia) ke-15.
Kemenangan itu adalah pengiktirafan terhadap dedikasi mereka dalam mengusahakan buku Tumbuhan dan Herba dari Perspektif Perubatan Moden (Jilid 2) yang diterbitkan oleh Penerbit UKM (UKMPress).
Buku tersebut yang merupakan sambungan kepada Jilid 1 yang diterbitkan pada tahun 2022, menyelidik tumbuhan dan herba dari segi perubatan moden. Ia menggabungkan hasil penyelidikan saintifik mengenai beberapa tumbuhan terkenal seperti hempedu bumi, ulam raja, kunyit, dan tongkat ali, serta banyak lagi.
Kedua-dua pengarang bersama dengan pasukan penulis bab yang terlibat telah berjaya memberikan penerangan yang mendalam mengenai manfaat herba dan tumbuhan dalam rawatan perubatan moden.
Prof Dr Ima dan Dr Wong yang merupakan penyunting utama berjaya mengolah setiap bab dengan teliti, memastikan ia dimulakan dengan latar belakang biologi tumbuhan, taburan geografi, serta kegunaan tradisi oleh masyarakat setempat. Setiap bab juga disertakan dengan kajian saintifik terkini yang memberikan bukti yang kuat mengenai potensi terapeutik tumbuhan tersebut.
Menurut Prof Dr Ima, tujuan utama mereka adalah untuk memberikan panduan yang sah dan selamat kepada masyarakat mengenai penggunaan tumbuhan dan herba.
“Selain itu, kami berharap kajian ini dapat memotivasi lebih banyak penyelidikan saintifik yang dapat membawa herba ini ke tahap pendaftaran sebagai ubat yang sah untuk kegunaan klinikal,” katanya.
Sementara itu, Dr Wong pula berkata anugerah tersebut adalah satu pengiktirafan besar kepada usaha mereka dalam menggabungkan amalan tradisional dengan pendekatan saintifik.
“Kami berharap ia dapat memberi impak positif dalam menggalakkan penyelidikan herba dan tumbuhan di Malaysia serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara alam sekitar,” katanya.
Buku itu juga menekankan cabaran yang dihadapi dalam penyelidikan tumbuhan perubatan, termasuk kekurangan dana, kekurangan kakitangan terlatih, dan ancaman terhadap sumber semula jadi akibat aktiviti pembangunan.
Kedua-dua mereka menyeru agar pihak berkuasa dan masyarakat lebih prihatin dalam memelihara alam sekitar agar generasi akan datang tidak kehilangan manfaat herba dan tumbuhan yang bernilai tinggi.
Kemenangan Prof Dr Ima dan Dr Wong adalah bukti jelas tentang sumbangan besar mereka dalam bidang perubatan dan sains, serta komitmen mereka dalam memajukan penyelidikan perubatan tradisional yang disokong oleh bukti saintifik yang kukuh.