Oleh Phoon Li Juan @ Roovasini
Foto Muhammad Syahir bin Jumat
BANGI, 4 September – Ekspo Pendidikan Jom Masuk UKM 2023 mendapat sambutan baik daripada bakal pelajar yang berminat untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Ekspo anjuran Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan & Profesional (UKMShape) bersama fakulti dan institut di UKM itu memberi peluang kepada orang ramai yang hadir untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang program-program yang ditawarkan di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah secara bersemuka.
Pengunjung ekspo dapat menikmati pemberian baucer rebat sebanyak RM500, pengecualian yuran pendaftaran dan bantuan kewangan.
Program yang turut mendapat kerjasama stesen radio Suria FM (SURIA Wheels) dan trak LED telah menjelajah ke empat zon iaitu Zon Pantai Timur, Zon Selatan, Zon Utara dan berakhir Zon Tengah sepanjang bulan Ogos 2023 melalui Jelajah Jom Masuk UKM 2023.
Sepanjang program jelajah itu berlangsung, UKMShape telah berjaya mendapat 128 permohonan dan 41 prospek yang telah mendapat Conditional Offer Letter (COL) secara terus.
Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak mengucapkan syabas kepada UKMShape atas usaha gigih dan komitmen dalam menjayakan jelajah itu dan berharap program tersebut akan menjadi acara tahunan UKM.
Sementara itu, seorang pengunjung yang berasal dari Kedah, Fu Shun Yen berkata kos pengajian bagi ijazah Sarjana Muda Farmasi di UKM sangat berpatutan berbanding dengan universiti swasta dan ia sangat berbaloi memandangkan UKM mempunyai prestasi dan kedudukan QS yang baik.
Bagi Nasyika Aliya yang merupakan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (STPM) pula, dia berasa sangat berpuas hati dengan informasi yang diberikan di kaunter berbanding dengan apa yang diperolehi melalui dalam talian.
Majlis penutup Ekspo Pendidikan Jom Masuk UKM 2023 turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Mohammad Kassim; Pengarah UKMShape, Prof. Datuk Dr. Muhammad Hussin dan Bendahari UKM, Mohd Azli Mohd Kasirun.