Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
BANTING, 26 April 2024 – Kerjasama yang dijalin melalui pemeteraian memorandum persefahaman antara Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Jingxing Holdings (M) Sdn. Bhd. dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dato’ Dr Wan Kamal Mujani berkata hubungan yang terjalin antara kedua-dua institusi itu telah terjalin sejak tahun 2022 melalui program Program PENJANA KPT-PACE di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Melalui program itu, graduan UKM telah mengikuti latihan kemahiran Wastewater Treatment System di syarikat ini.
“Seramai 18 graduan yang menyertai program PENJANA KPT-PACE diberi peluang temuduga dan ditawarkan pekerjaaan di Jingxing Holdings (M) Sdn Bhd. Usaha sokongan Jingxing Holdings (M) Sdn Bhd kepada Program PENJANA KPT- PACE selaras dengan matlamat pendidikan UKM untuk menghasilkan gradúan yang berkompeten, berdaya saing dan inovatif,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani MoU antara UKM dengan Jingxing Holdings (M) Sdn. Bhd. di sini, semalam.
Beliau berkata UKM sentiasa berusaha dalam menghasilkan graduan yang berkompiten, berdaya saing dan inovatif dalam pelbagai bidang pada setiap tahun.
“Saya percaya kerjasama erat yang dijalinkan dengan Jingxing Holdings (M) Sdn. Bhd. ini dapat membantu membentuk negara yang membangun di dunia dengan pengukuhan aktiviti ekonomi melalui kepakaran teknikal dan inovasi teknologi,” katanya.
Dokumen MoU itu ditandatangi oleh Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal yang mewakili UKM, manakala Jingxing Holding (M) Sdn. Bhd. diwakili oleh Pengarahnya, Teng Kim Chuan dan disaksikan oleh Dekan FKAB, Prof. Ir. Dr. Mohd Syuhaimi Abdul Rahman dan Timbalan Pengurus Besar Jingxing Holding (M) Sdn. Bhd., Chen Ke.