Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 2 September 2024 – Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) melancarkan tiga makmal baharu yang menyediakan kemudahan dan persekitaran yang lebih canggih bagi meningkatkan kualiti pengajaran, pembelajaran, dan penyelidikan.
Makmal yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian ini adalah Makmal Pengajaran Industri Sistem Terbenam UKM-NI, Makmal Pengajaran Industri CAD/CAM/CAE UKM-SIEMENS dan Makmal Voltan Tinggi.
Makmal Pengajaran Industri Sistem Terbenam UKM-NI merupakan kerjasama UKM bersama NI Malaysia. Sementara itu, Makmal Pengajaran Industri CAD/CAM/CAE UKM-Siemens adalah hasil kerjasama antara UKM dengan pihak Siemens Industry Software, Advance Retro Solution (ARS) dan Hitachi Sunway Information Systems.
Makmal Voltan Tinggi pula adalah satu pencapaian besar yang akan menyokong penyelidikan dan pembangunan dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik, khususnya yang melibatkan kajian voltan tinggi.
Menurut Naib Canselor, Prof. Dato Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, pembinaan ketiga-tiga buah makmal ini akan meningkatkan dan mengeratkan kerjasama antara UKM dan pihak industri, serta dapat memperkukuhkan pembangunan modal insan yang berdaya saing dan berinovatif, selari dengan visi dan misi UKM.
“Dalam mempekasakan bidang penyelidikan, UKM sentiasa berusaha mensasarkan untuk menyediakan ekosistem penyelidikan yang melibatkan rakan industri dan antarabangsa bagi menyemarakkan semangat kerjasama dan daya saing dalam kalangan warganya.
“Peralatan dan perisian yang serba canggih dan moden yang terdapat di makmal ini juga diharapkan dapat meningkatkan hasil penerbitan berimpak tinggi di UKM,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada KPT atas sumbangan sebanyak RM3 juta dalam membangunkan Makmal Voltan Tinggi Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina.
Tambahnya, makmal ini merupakan sebahagian daripada projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Saya yakin makmal-makmal yang akan dilancarakan pada hari ini akan menjadi nadi utama kepada pengajaran dan pembelajaran yang lebih holistik dan relevan dengan kehendak industri.
“Kemudahan ini bukan sahaja menyediakan platform untuk pelajar menimba ilmu teori, tetapi juga memberi mereka peluang untuk mengaplikasikan ilmu tersebut dalam situasi sebenar, yang akhirnya akan melahirkan graduan yang berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan industri masa kini,” katanya.