Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 21 Jun 2024 – Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Minconsult Sdn Bhd bagi meningkatkan kerjasama penyelidikan kejuruteraan.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin berkata MoU yang ditandatangangi itu adalah bagi melaksanakan kerjasama penyelidikan dan permohonan geran bersama dalam beberapa bidang yang telah dipersetujui antara kedua-dua pihak.
“Kerjasama yang terjalin antara UKM dengan Minconsult sejak tahun 2021 ini tertumpu kepada program Latihan Industri pelajar FKAB, lawatan teknikal, program tanggungjawab sosial korporat dan penyertaan syarikat Minconsult dalam aktiviti kerjaya di peringkat fakulti dan universiti.
“Mou ini tidak hanya tertumpu kepada kerjasama dan aktiviti di FKAB sahaja, malah turut melibatkan kerjasama latihan profesional yang telah dirancang bersama Institut Sel Fuel,” katanya ketika menayampaikan ucapan pada majlis Menandatangani MoU antara UKM dengan Minconsult di sini.
Katanya, sebelum ini Minconsult juga turut menjalin kerjasama dengan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari-UKM) dalam membangunkan alat dan senarai semak Matlamat Pembangunan Mampan atau (SDG) dalam menentukan tahap pencemaran air sungai.
“Saya amat berharap kerjasama UKM – Minconsult akan berterusan dan dapat memberikan impak bukan sahaja kepada kedua-dua belah pihak tetapi yang paling utama dapat menghasilkan sesuatu yang ketara dalam industri teknologi dan kejuruteraan di Malaysia dan antarabangsa,” ujarnya.
Sementara itu, Dekan FKAB, Prof. Ir. Dr. Syuhaimi Ab Rahman berharap agar dengan adanya MoU itu, kerjasama ke arah pembangunan penyelidikan terutamanya bidang Railway Engineering dan pembangunan latihan kakitangan bersama Institut Sel Fuel seperti dicadangkan dapat direalisasikan.
“Semoga dengan kerjasama ini akan merancakkan lagi peluang pelajar UKM khususnya FKAB untuk menjalani latihan industri dan diharapkan pelajar-pelajar ini dapat menunjukkan potensi yang cemerlang dan seterusnya ditwarkan bekerja di syarikat itu,” katanya.