Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 20 Februari 2024 – Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meraikan dua Professor Emeritus sebagai pengiktirafan di atas segala jasa dan sumbangan mereka terhadap pembangunan universiti.
Mereka adalah Prof. Emeritus Dr. Mohd Alaudin Mohd Ali dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem dan Prof. Emeritus Dr. Mohd Raihan Taha dari Jabatan Kejuruteraan Awam.
Pengerusi Majlis Profesor FKAB, Prof. Dr. Che Hasan Che Harun mengucapkan sekalung penghargaan kepada kedua-dua Profesor Emeritus di atas reputasi yang cemerlang serta sumbangan yang memberi impak kepada masyarakat.
“Kedua-duanya telah memimpin dengan baik dari aspek pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi, penerbitan, khidmat perundingan yang banyak membantu agenda kecemerlangan UKM sebagi universiti bertaraf dunia.
“Banyak bakat dan kemimpinan FKAB turut sama membantu kemajuan UKM dan sudah pastinya ramai pelapis yang akan dilahirkan untuk memastikan UKM terus gemilang dimasa depan.
“Warga FKAB bukan sahaja disanjung dan dirujuk di dalam negara tetapi juga mencapai kejayaan cemerlang diperingkat antarabangsa dalam bidang kejuruteraan awam, kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan kimia, kejuruteraan elektrik dan elektronik, pendidikan kejuruteraan dan seni bina,” katanya.
Menurut beliau, kegemilangan alumni sangat penting dalam memberikan dan membawa imej kepada kejayaan sesebuah universiti.
“Ramai alumni FKAB yang telah dilahirkan dan kini terus memainkan peranan dalam kemajuan negara dan memimpin dipelbagai sektor awam, korporat, swasta dan usahawan.
“Seharusnya hubungan alumni dan universiti terus diperkukuhkan dengan penganjuran pelbagai aktiviti untuk pembangunan sahsiah mahasiswa, kurikulum akademik dan kebolehpasaran graduan,” katanya.