Oleh Asmahanim Amir
Foto Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina
BANGI, 4 April 2024 – Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyantuni kanak-kanak asnaf dan warga emas di sekitar Bandar Baru Bangi melalui Program Berkah Ramadan yang diadakan sepanjang bulan Ramadan.
Antara rumah-rumah dan pusat-pusat jagaan yang dilawati adalah Rumah Bakti Al Kausar, Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP), Maahad Tahfiz Lil-Muttaqin Semenyih, Rumah Kebajikan Peribadi Mulia, Surau Pangsapuri Seri Tanjung, Rumah Jagaan Kanak-Kanak Asnaf/Yatim Ruqaiyah, Rumah Anak Yatim/Miskin Muhammad Al Fateh, Pusat Jagaan Rufaidah.
Dekan FKAB, Prof Ir Dr Mohd Syuhaimi Ab Rahman berkata program Berkah Ramadan bukan hanya sekadar memberi makan kanak-kanak asnaf tetapi detik permulaan kepada kolaborasi hebat antara FKAB dengan rumah-rumah penyayang.
“Program ini juga merupakan salah satu program dalam menyahut agenda UKM4Bangi. Pelbagai kisah sedih yang sering bermain dalam fikiran kami yang menyebabkan lena tidur kami di ganggu.
“Berkah Ramadan ini juga sebagai pelantar manzahirkan rasa syukur tidak terhingga kepada Allah S.W.T atas kurnian rahmah-Nya atas tertubuhnya sebuah Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina selama 40 tahun di bumi ini dengan 400 warga yang mencari rezeki di sini dan telah menghasilkan kira-kira 14,000 alumni setakat ini,” katanya.
Melalui Barakah Ramadan, beliau berkata pihaknya telah berjaya mengumpulkan hampir RM50,000 kutipan yang diagihkan kepada 500 peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat.
Melalui kutipan itu juga, FKAB dapat melaksanakan majlis berbuka puasa warga FKAB bersama-sama warga emas dan kanak-kanak asnaf, memberi sumbangan duit raya, sumbangan baju raya dan juga keperluan harian.
Dalam program lain, melalui agenda UKM4BAngi, FKAB turut melaksanakan majlis pelancaran program Pemerkasaan Akademik Asnaf Bangi yang melibatkan 20 orang mahasiswa FKAB membantu meningkatkan kefahaman pembelajaran anak-anak di Pusat Jagaan Rukaiyah Bandar Baru Bangi.
Pada program itu, Dekan telah menghadiahkan buku rujukan dan latihan kepada kanak-kanak tersebut sebagai tanda komitmen UKM membantu mereka.
“Mereka juga berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan menaruh iltizam yang tinggi demi kecemerlangan demi masa depan mereka,” kata Prof Ir Dr Mohd Syuhaimi.
Antara aktiviti yang dilakukan adalah tuisyen dan coaching oleh sukarelawan mahasiswa FKAB untuk mata pelajaran Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris. Majoriti kanak-kanak di situ memerlukan bimbingan akademik dan UKM sebagai sumber ilmu berpanjangan perlu ambil tanggung jawab ini.
UKM4Bangi menjadi nadi perjuangan FKAB dengan menampilkan Misi Bantuan Kasih, Berkah Ramadan, Masjid Lestari, FKAB4Orphans, Profesor ke Desa, Kompetensi Asnaf serta banyak lagi inovasi sosial dan jenama sosial akan diperkenalkan semata-mata ingin membentuk filantropi yang tinggi antara warga Bangi dan UKM.