Oleh Aina Umairah Muhammad Dhalan & Ahmad Fayyadh Mohamad
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 1 Disember 2022 – Graduan Orang Kurang Upaya (OKU) ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Khas), Nur Nadia Ismail berjaya menamatkan pengajiannya dengan cemerlang pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ke-50.
Menurutnya, ramai yang beranggapan bahawa OKU seperti dirinya tidak boleh berjaya sampai ke tahap ini.
“Dulu saya pernah rasa mahu berhenti belajar. Tetapi, ibu bapa saya sentiasa memberi nasihat untuk tidak berputus asa dan jangan rasa penat serta contohi teladan yang baik.
“Ini semua bergantung kepada diri sendiri. Paling penting kita jangan ada rasa malu dan mesti menghormati semua orang terutama pensyarah, guru dan rakan-rakan serta jangan ada sikap mahu bersaing antara satu sama lain,” katanya.
Graduan istimewa itu mengakui bahawa beliau menghadapi cabaran dari aspek komunikasi kerana sukar untuk mendengar dengan baik dan berkomunikasi dengan rakan-rakan.
“Kadangkala komunikasi antara saya dan rakan-rakan terhad ketika belajar bersama-sama.
“Mereka banyak membantu dari aspek pertuturan dan dari situ, saya mula belajar untuk memahami perkataan yang disampaikan oleh rakan-rakan melalui pergerakan mulut.
“Situasi yang paling mencabar adalah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana semua kelas diadakan secara atas talian.
“Penggunaan aplikasi Microsoft Team dapat membantu saya memahami maklumat yang disampaikan melalui sarikata,” katanya.
Graduan yang merupakan penerima Anugerah Tengku Ampuan Afzan ini bercita-cita untuk menjadi seorang guru pendidikan khas.