Golongan B40 Masih Terbeban Dengan Kos Rawatan: Dimana Silapnya?

KUALA LUMPUR, 12 Mac 2025 – Kesihatan adalah anugerah yang tidak ternilai, menjadi tunjang kepada kesejahteraan hidup dan kemajuan sesebuah negara. Namun, dalam situasi ekonomi yang semakin mencabar serta kos perkhidmatan kesihatan yang terus meningkat, isu pembiayaan kesihatan semakin mendesak dan perlu diberi perhatian serius. Meskipun Malaysia diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sebagai negara yang telah mencapai liputan kesihatan menyeluruh atau Universal Coverage, hakikatnya masih ramai rakyat yang berdepan kesulitan dalam membiayai rawatan perubatan mereka. Tidak hairanlah, permohonan bantuan kewangan melalui media sosial dan liputan akhbar yang berkaitan semakin meningkat saban hari.

Sistem pembiayaan kesihatan negara ini berfungsi melalui dua saluran utama — bantuan kerajaan dan swasta. Menurut Prof. Madya Dr. Azimatun Noor Binti Aizuddin, Pensyarah Perubatan di Jabatan Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan UKM, yang juga merupakan Ketua Pusat Antarabangsa Casemix & Pengekodan Klinikal (ITCC), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah besar dana daripada hasil cukai untuk menampung kos perkhidmatan kesihatan di fasiliti kerajaan dengan caj yang rendah dan jauh lebih murah berbanding perkhidmatan di sektor swasta. Namun, tidak semua lapisan masyarakat dapat menikmati kemudahan ini. Faktor seperti masa menunggu yang panjang di hospital kerajaan menyebabkan ramai pesakit, terutamanya yang memerlukan rawatan segera, memilih untuk mendapatkan perkhidmatan di hospital swasta yang lebih cepat tetapi lebih mahal.

Malangnya, kos rawatan di sektor swasta yang tinggi sering kali melebihi kemampuan individu, terutama bagi mereka yang tidak mempunyai simpanan tunai atau perlindungan insurans yang mencukupi. Bagi golongan yang kurang berkemampuan, situasi ini menjadi mimpi ngeri yang memaksa mereka mencari bantuan kewangan dengan pelbagai cara termasuk merayu di media sosial atau meminjam daripada saudara-mara. Pepatah lama ada menyebut, “kekayaan sebenar adalah kesihatan.” Tetapi, bagi mereka yang berpendapatan rendah, ketidakmampuan mendapatkan rawatan awal hanya akan mengakibatkan kesihatan yang semakin merosot, sekaligus memerlukan kos rawatan yang lebih tinggi di kemudian hari. Lingkaran ini hanya akan terus memburukkan keadaan sosio-ekonomi mereka, dan ia perlu diputuskan dengan pendekatan yang lebih berkesan. Kerajaan telah mengambil langkah positif dengan memperkenalkan pelbagai skim pembiayaan kesihatan untuk membantu golongan B40 yang memerlukan.

Antara inisiatif yang diperkenalkan termasuklah PeKa B40, Skim Perubatan Madani, dan MySalam. Selain itu, terdapat juga pelbagai saluran bantuan lain yang ditawarkan oleh agensi seperti Tabung Kebajikan Pesakit Hospital, Tabung Bantuan Perubatan KKM, Baitulmal, Pusat Zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Namun begitu, kajian menunjukkan bahawa ramai dalam kalangan B40 masih tidak mengetahui wujudnya bantuan-bantuan ini. Bagi mereka yang menyedari kewujudan skim-skim ini, kebanyakannya keliru tentang proses permohonan atau jenis bantuan yang sesuai dengan situasi mereka.

Menurut tinjauan yang dijalankan oleh Prof. Madya Dr. Azimatun Noor Binti Aizuddin semasa program-program forum bersama masyarakat PPRT, ramai dalam kalangan golongan berpendapatan rendah seperti penghuni Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sebenarnya tidak menyedari bahawa mereka layak menerima bantuan pembiayaan kesihatan. Mereka mungkin pernah mendengar tentang skim-skim seperti PeKa B40, Skim Perubatan Madani, dan MySalam tetapi beranggapan bahawa mereka tidak layak atau tidak tahu cara memohon. Akibatnya, mereka terpaksa menggunakan wang simpanan atau berhutang demi membiayai kos rawatan yang amat diperlukan.

Statistik dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan bahawa penggunaan bantuan kesihatan dalam kalangan golongan sasar masih rendah. Misalnya, laporan PeKa B40 2021 menunjukkan hanya 10.5 peratus atau lebih kurang 620,000 daripada 5.9 juta rakyat Malaysia dalam kumpulan pendapatan B40 yang memanfaatkan skim pemeriksaan kesihatan percuma PeKa B40 setakat 31 Mei 2022. Angka ini amat rendah dan menunjukkan bahawa masalah kekurangan maklumat dan kekeliruan dalam proses permohonan perlu diselesaikan segera.

Melalui pelbagai inisiatif yang disediakan, kerajaan berharap agar lebih ramai rakyat Malaysia menyedari dan memahami cara memanfaatkan bantuan yang telah disediakan. Rakyat perlu mendapatkan maklumat yang tepat daripada sumber yang sahih. Semua pihak termasuk petugas kesihatan, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak media perlu berganding bahu bagi memastikan maklumat mengenai bantuan pembiayaan kesihatan dapat disampaikan dengan lebih jelas kepada golongan sasar. Tatakelola yang baik perlu diutamakan dalam setiap inisiatif ini agar usaha berterusan dapat memberikan impak yang berkesan. Dengan meningkatkan kesedaran dan akses kepada bantuan ini, masalah pembiayaan kesihatan dapat dikurangkan, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menyokong kesejahteraan rakyat, khususnya golongan B40. Pendekatan yang lebih kreatif dan mesra pengguna perlu diketengahkan untuk memastikan tiada yang tercicir daripada menerima bantuan yang sepatutnya.

Prof. Madya Dr. Azimatun Noor Binti Aizuddin
Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Kesihatan Awam
Fakulti Perubatan UKM dan Ketua Pusat Antarabangsa Casemix & Pengekodan Klinikal (ITCC)
Hospital Canselor Tuanku Muhriz.
Nombor Telefon : 0193750153

Leave a Reply