Oleh Nurfaizatul Huda Ahmad dan Nur Amilya Husna Kamarul Zaman
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 26 November 2022 – Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah kepada para graduan agar bersiap sedia untuk bersaing dengan pekerja yang lebih berpengalaman dalam sidang pembukaan Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-50 hari ini.
Menurut baginda, graduan pada hari ini harus bersiap sedia untuk bersaing dengan graduan lain dan pekerja berpengalaman ketika mencari pekerjaan nanti.
“Alam pekerjaan pada hari ini sangat mencabar kerana ramai individu di luar sana ada yang diberhentikan kerja malah banyak peluang pekerjaan yang ditawarkan tidak sepadan dengan kebolehan serta kelayakan pendidikan kalian.
“UKM telah mengambil kira semua faktor dan perubahan terkini dalam merangka inisiatif bagi membantu kalian agar lebih bersedia ketika berdepan cabaran mendapatkan pekerjaan setelah menamatkan pengajian,” titah baginda.
Tuanku Muhriz turut memuji usaha UKM dalam memberi penekanan kepada beberapa kemahiran penting yang harus dikuasai para siswazah terutamanya dalam bidang keusahawanan dan teknologi maklumat.
Baginda bersetuju bahawa kemahiran-kemahiran ini amat penting dan bakal memberi manfaat kepada graduan ketika memasuki alam pekerjaan nanti. Mengakhiri titahnya, baginda berharap agar semua graduan yang telah bergelar alumni UKM dapat menjaga nama baik universiti, meneruskan khidmat bakti serta kembali semula memberi sumbangan kepada universiti yang pernah menjadi tempat mereka menimba ilmu suatu ketika dahulu.