Hari Akademia UKM Rai Sumbangan Pendidik

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 23 Oktober 2024 –  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengadakan Hari Akademia 2024 sebagai usaha bagi menghargai sumbangan warga pendidik universiti yang sentiasa komited dalam membangunkan modal insan tempatan ke arah pembangunan lestari negara. 

Dengan tema “Transformasi Akademia dengan AI: Masyarakat MADANI Berinovasi,” acara ini bertujuan mengiktiraf pencapaian dan dedikasi warga akademik, serta mempromosikan inovasi pendidikan melalui penerapan kecerdasan buatan dalam pengajaran dan pembelajaran.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak, sambutan ini adalah untuk menghargai pencapaian gemilang, ketekunan, dan komitmen yang telah ditunjukkan oleh para warga akademik universiti.

“Ia juga merupakan sebagai satu titik masa untuk kita menilai sejauh mana kita telah mencapai objektif dan aspirasi bersama dalam mengejar kecemerlangan akademik.

“Selaras dengan tema Hari Akademia tahun ini yang memberi fokus kepada AI, ia menjadi cabaran utama kepada pendidik di negara ini bagi memastikan para pelajar tidak bergantung kepada platform tersebut semata-mata dalam arus pemodenan dunia pendidikan kini.

“Saya menyeru supaya lebih ramai profesor terus memberikan sumbangan dalam inovasi pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta menjadi mentor yang dapat memberikan galakan kepada para akademia muda yang lain,” katanya.

Majlis yang sama turut mengiktiraf pencapaian warga akademik melalui beberapa anugerah utama seperti Anugerah Pengajaran Antarabangsa dan Anugerah MOOC Terbaik. Bagi memeriahkan sambutan Bulan Akademia ini, pelbagai aktiviti seperti Pertandingan Video dan Pertandingan Pensyarah Popular diadakan sepanjang bulan Oktober.

Pada majlis yang sama turut diadakan Majlis Apresiasi Pengajaran AktivUKM2024 serta Pelancaran InfoAktiv.

Majlis Apresiasi Pengajaran AktivUKM 2024 bertujuan untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada warga akademik yang terlibat secara aktif dan telah memberi sumbangan dalam program Pengajaran dan Pembelajaran. 

Manakala, InfoAktiv ialah wadah informasi Pengajaran-UKM untuk meningkatkan jangkauan dan penyebaran maklumat kepada warga UKM dan umum. InfoAktiv ini berfungsi sebagai platform sehenti untuk menyebar luas pengumuman, aktiviti, berita dan perkembangan semasa berkaitan dengan Pengajaran dan Pembelajaran secara dalam talian.

Leave a Reply