Oleh Shafizza Saidon
Foto oleh UKMShape
BANGI, 25 Jun 2024 – Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan & Profesional (UKMShape) menganjurkan Hari Informasi ASASIpintar Ambilan Julai 2024 bagi memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar lepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan O-Level yang mempunyai potensi intelektual tinggi dan bakat yang besar untuk menyambung pengajian di pusat tersebut.
Ketua Projek Premier UKMShape, Prof Madya Dr. Rorlinda Yusof berkata program itu diadakan bagi menyediakan maklumat mendalam mengenai tunjang program ASASIpintar dalam memupuk cabaran ilmu dan inovasi terkini.
“Program ini menawarkan kurikulum teori berserta dengan kursus penyelidikan untuk mengukuhkan keupayaan pelajar dalam menjalankan pelbagai penyelidikan dalam bidang yang mereka minati,” katanya semasa majlis perasmian Hari Informasi ASASIpintar Ambilan Julai 2024, baru-baru ini.
Pada majlis itu, pelajar dan ibu bapa yang hadir diberi peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pegawai pemasaran dari UKMShape untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai kursus dan prospek kerjaya yang berpotensi.
Selain itu, pelbagai promosi menarik seperti pemberian rebat dan baucar serta hadiah misteri juga ditawarkan kepada calon yang membuat permohonan.
Hari Informasi itu juga menjadi platform untuk mempromosikan dan memberikan gambaran yang menyeluruh tentang pelbagai program akademik dan peluang pendidikan lain yang ditawarkan oleh fakulti dan institut di UKM.
Bakal pelajardiberi peluang menyertai sesi soal jawab interaktif untuk menjawab sebarang persoalan atau kebimbangan mengenai program akademik dan jurusan, bertemu dan berinteraksi dengan staf dan pelajar semasa, mempelajari tentang proses kemasukan, biasiswa, dan bantuan kewangan serta melawat fasiliti canggih dan kampus UKM yang indah.
Hari Informasi ASASIpintar Ambilan Julai 2024 tersebut membuktikan komitmen UKMShape dalam menyediakan pendidikan berkualiti tinggi di UKM yang dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat, serta mempersiapkan generasi muda untuk masa depan yang cemerlang dan berjaya.