Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 10 Jun 2024 – Hari Industri dan Keusahawanan Fakulti 2024 (HIKEF) yang dianjurkan bersekali dengan Minggu Inovasi dan Kreativiti Fakulti (HIKEF), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) yang diadakan pada 4 hingga 8 Jun lepas merupakan inisiatif yang sangat penting dalam mengukuhkan jalinan kerjasama antara FKAB dengan sektor industri.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dato’ Ts Dr Norazah Mohd Nordin berkata penganjuran program itu juga dapat membuka peluang kepada para pelajar untuk mendapatkan pendedahan langsung mengenai dunia pekerjaan, memahami kehendak dan cabaran industri serta memberi jaringan profesional yang berguna untuk masa hadapan.
“Program ini adalah platform bagi para pelajar terutamanya pelajar tahun 3 dan 4 untuk bertemu dan berinteraksi dengan wakil-wakil industri bagi mendapatkan maklumat terkini berkenaan pasaran pekerjaan, memahami keperluan dan kehendak majikan, serta meningkatkan kebolehpasaran diri,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian HIKEF 2024 yang diadakan di Akademi Siber teknopilis, di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata program seperti itu dapat memberi peluang kepada para pelajar untuk memahami kehendak industri dan memperbaiki diri agar lebih bersedia untuk memasuki pasaran pekerjaan.
“Saya menyeru kepada mahasiswa agar melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran, termasuk kemahiran teknikal, kemahiran insaniah dan kemahiran digital.
“Penglibatan syarikat yang pelbagai dan perkongsian bersama alumni tersohor dapat memberikan input yang berguna kepada anda semua sebagai persediaan di alam pekerjaan kelak,” katanya.
Sementara itu, Dekan FKAB, Prof Ir Dr Mohd Syuhaimi Ab Rahman berkata sempena HIKEF 2024, sebanyak 12 rakan industri telah terlibat dalam sesi pameran industri dan sesi temu duga untuk pelajar-pelajar tahun akhir dan pelajar-pelajar tahun 3 yang sedang mencari penempatan latihan industri.
“Gabungan elemen industri dan keusahawanan yang diterapkan melalui ceramah industri, temuduga, ceramah teknikal dan perkongsian oleh CEO merupakan inti pati utama program ini.
“Ia selaras dengan objektif program iaitu memberi pendedahan kepada pelajar terhadap keperluan terkini industri dan kepentingan inovasi serta keusahawanan dalam kalangan pelajar universiti,” ujarnya.
Pada majlis ini juga, beliau turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Siemens Industry Software Lte. Ptd., Hitachi Sunway Information System dan Advance Retro Solution Sdn. Bhd. serta majlis penyerahan replika cek sumbangan pembangunan Makmal Pengajaran Industri CAD/ CAM/ CAE UKM-Siemens kepada FKAB.