HPKK Rawat Lebih 1,000 Pesakit Kanser Kanak-Kanak Sepanjang Tahun 2023

Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi dan Izwan Azman

CHERAS, 23 September 2024 –  Hospital Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah memberi rawatan kanser kepada lebih 1,000 pesakit kanser kanak-kanak sepanjang tahun 2023.

Naib Canselor, Prof Dato’ Gs TS Dr Mohd Ekhwan Toriman  berkata strategi perkhidmatan rawatan kanser kanak-kanak yang dilaksanakan adalah dengan menjalankan stratifikasi tahap kanser, membina protokol rawatan, penjagaan sokongan klinikal yang padu, memberi kesedaran kanser kepada ibu bapa dan pemantauan berterusan kualiti rawatan.

“Sebagai salah sebuah fasiliti kesihatan yang mempunyai kepakaran dalam bidang onkologi kanak-kanak di kawasan Lembah Klang, hospital ini juga menawarkan rawatan yang intensif dan efektif kepada pesakit-pesakit yang dirawat.

“Peranan hospital ini sebagai sebuah pusat rawatan kanser juga diktiraf apabila berjaya menerima Geran Luar Industri Yayasan Petronas bagi penyelidikan yang bertajuk Initiative for Precision Medicine in Paediatric Cancer Therapy (IMPACT): Improving Paediatric Cancer Survival Rate,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Bulan Kesedaran Kanser Kanak-Kanak Peringkat Hospital Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (HPKK), di sini.

Pada majlis itu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Canselor UKM bersama  Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud berkenan mencemar duli berangkat merasmikan majlis itu dan melawat wad hemato-onko yang menempatkan pesakit kanser kanak-kanak.

Dalam ucapan, Prof Dato’ Gs TS Dr Mohd Ekhwan berkata disamping memberikan perawatan secara khusus, hospital itu juga turut menjalankan Program Kesedaran Kanser melalui Mobile Community Services di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Pada 27 Julai 2024 yang lalu, satu Program Jangkauan Luar Kesihatan dan Kesedaran Kanser Kanak kanak telah di jalankan di Selandar, Jasin Melaka dimana pelbagai aktiviti berbentuk pendedahan dan langkah awal pengesanan kanser dan konsultasi pembelajaran telah dijalankan.

“Susulan daripada sambutan yang memberansangkan ke atas program tersebut, pihak hospital telah dipelawa untuk memperluaskan lagi program ini bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pencegahan awal penyakit kanser,” katanya.

Bulan Kesedaran Kanser Kanak-Kanak adalah satu acara penting yang diadakan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan mengenal pasti gejala awal penyakit kanser, mendapatkan rawatan segera dan memahami cabaran yang dihadapi oleh pesakit kanser kanak-kanak serta keluarga mereka.

“Di Malaysia sahaja, kadar kes kanser dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun kebawah ialah enam kes bagi setiap 100,000 penduduk dan sebanyak 1000 kes kanser kanak-kanak baharu dilaporkan pada tahun 2024.

“Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan lebih 700 kanak-kanak berusia bawah 15 tahun di negara ini didiagnosis dengan kanser setiap tahun atau secara purata dua kanak-kanak setiap hari,” ujarnya.

Menurut data, terdapat lima jenis kanser utama dalam kalangan kanak-kanak iaitu leukemia; tumor otak dan saraf tunjang; limfoma; kanser tulang; dan retinoblastoma.

Leave a Reply