Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
CHERAS, 17 Ogos 2023 – Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) UKM melakar sejarah apabila buat julung kalinya melakukan prosedur pembedahan implan koklea (CI) yang pertama, baru-baru ini, sejak ia mula beroperasi dua tahun lalu.
Prosedur pembedahan yang diketuai oleh Pensyarah Fakulti Perubatan, merangkap Ketua Unit Otorinolaringologi HPKK, Prof. Dr. Goh Bee See, bersama pasukannya melakukan pembedahan tersebut terhadap seorang kanak-kanak, Chua Xi Jie, berusia 8 tahun.
Xi Jie dikenal pasti mengalami masalah pendengaran sejak berusia 11 bulan dan menjalani pembedahan implan koklea di telinga kanan pada usia tiga tahun di Hospital Canselor Tuanku Muhriz pada tahun 2018, dan pada 8 Ogos lepas kanak-kanak tersebut menjalani pembedahan implan koklea di telinga sebelah kiri pula di HPKK.
Menurut Prof. Dr. Goh Bee See, pembedahan itu dilakukan bagi menanam elektrod ke dalam koklea di bahagian telinga dalam bagi memastikan bunyi boleh disampaikan kepada otak melalui rangsangan elektrik daripada elektrod ke saraf pendengaran.
“Alat CI yang dipasang itu menggantikan fungsi telinga dalam yang mempunyai masalah pendengaran teruk dan memproses bunyi serta menghantar isyarat ke otak. Ia berbeza dengan alat bantu pendengaran yang hanya menguatkan bunyi,” katanya.
Beliau berkata, pembedahan implan koklea akan dilakukan apabila pasukannya mendapat penilaian pesakit tersebut barada pada tahap teruk atau sangat teruk.
“Kalau sederhana, mereka hanya perlu pakai alat bantu dengar sahaja, dan jika teruk, kita akan tetapkan tarikh untuk membuat pembedahan bagi memasang implan. Saiznya sangat kecil dan pesakit akan menggunakan alat implan koklea ni sepanjang hidup mereka,” tambah beliau.
Beliau turut memberitahu bahawa pasukannya telah berjaya membuat pembedahan CI di kedua-dua belah telinga ke atas pesakit yang paling muda berusia 7 bulan pada tahun lepas, manakala pesakit paling tua adalah berumur 79 tahun.
Katanya, pasukan Implan Koklear UKM yang terdiri daripada ahli akademik dan para profesional kesihatan termasuk pakar otorinolaringologi, audiologis, terapis pertuturan, pakar kanak-kanak dan ahli profesional sokongan yang lain telah berjaya menjalankan pembedahan terhadap lebih 600 pesakit yang mengalami masalah pendengaran dan pertuturan sejak 25 tahun lalu, yang mana kira-kira 85 peratus adalah daripada golongan kanak-kanak.
Prof. Dr. Goh Bee See berkata Prof Emeritus Datuk Dr Lokman Saim bersama Prof Datuk Dr Abdullah Sani Mohamed dari Jabatan Otorhinolaryngologi, Fakulti Perubatan UKM telah bekerjasama dengan Prof Dr Siti Zamratol Mai-Sarah Mukari dan Prof Dr Kartini Ahmad dari Fakulti Sains Kesihatan membentuk Pasukan Implan Koklear UKM pada 1994.
“Pada 14 Disember 1995, pembedahan pertama implan koklea berjaya dilakukan oleh pasukan tersebut, manakala pada 2005 bayi berusia 11 bulan menjadi pesakit termuda menjalani pembedahan, pada ketika itu,” katanya.
Untuk pengesanan awal, beliau mengingatkan ibu bapa supaya jangan mengambil mudah ujian saringan pendengaran untuk bayi yang baru dilahirkan kerana ia dapat membantu mengesan masalah berkenaan.
“Pengesanan awal penting untuk membolehkan diagnosis masalah pendengaran dapat disahkan sebelum bayi berusia tiga bulan. Ia akan membolehkan bayi berkenaan mendapat intervensi seawal usia enam bulan,” jelas beliau.
Sementara itu, Teh Ai Pey, ibu kepada Zi Jie, berkata anaknya dikesan menghadapi masalah pendengaran ketika berusia 11 bulan apabila mendapati anak tunggalnya itu tidak memberi reaksi kepada sebarang bunyi.
“Saya membawa dia (Zi Jie) ke hospital di Batu Pahat, Johor dan doktor mengesahkan anak saya menghadapi masalah pendengaran dan juga autisme.
“Doktor kemudiannya memasang alat bantuan pendengaran kepadanya, tetapi ia kurang membantu,” katanya.
Dia berkata, ketika Zi Jie berumur dua tahun, kanak-kanak itu masih belum boleh bercakap. Jadi, dia mula mencari pakar yang dapat membantu keadaan anaknya. Melalui bantuan rakannya, dia terus membuat temu janji untuk mendapatkan rawatan dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) bagi melakukan pembedahan koklea di telinga kanan pada tahun 2018 oleh pasukan perubatan yang diketuai oleh Dr Goh Bee See, dan seterusnya menjalani pembedahan pada telinga kiri pada 8 Ogos lepas di HPKK oleh pakar yang sama.