Oleh Preti Kaur Gill dan Murniati Abu Karim
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 1 Disember 2023 – Impian graduan Fakulti Sains dan Teknologi, Brentha Murugan untuk merangkul Anugerah Pelajaran Diraja sejak dari permulaan pengajiannya menjadi kenyataan apabila beliau dinobatkan sebagai penerima anugerah itu pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-51.
“Sejak saya memasuki UKM pada tahun 2019, impian saya adalah untuk menjadi seorang penerima Anugerah Pelajaran Diraja.
“Pencapaian ini bukan sahaja akan menjadi pengiktirafan terhadap usaha saya, tetapi juga akan memperkukuhkan hasrat saya untuk terus menyumbang kepada kelestarian alam sekitar,” katanya.
Menurutnya, pencapaian ini bukan sahaja akan menjadi pengiktirafan terhadap usahanya tetapi akan memperkukuhkan hasrat beliau untuk terus menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.
Selain daripada pencapaian akademik yang cemerlang, beliau juga telah terlibat secara aktif dalam pelbagai program dan projek yang membawa nama UKM ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Salah satu sumbangan beliau adalah FoodXcess UKM yang dibiayai oleh Kedutaan Amerika Syarikat dan Yayasan Kenan pada bulan Ogos 2023 sebanyak 1000 USD.
“Projek FoodXcess ini menyediakan makanan percuma kepada golongan pelajar dengan melaksanakan partnership bersama kafeteria di UKM. Inisiatif ini membolehkan pembaziran makanan di kafeteria berkurangan dan sedikit sebanyak membantu meringankan beban kewangan pelajar di UKM.
“Melalui projek ini, saya telah menjimatkan sebanyak 11,000 kilogram karbon dioksida serta menjaga kebajikan pelajar,” ujarnya.
Seterusnya, beliau terus mengukir kejayaan dengan melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Laluan Pantas dalam bidang yang sama di UKM pada bulan Oktober ini.
Beliau bakal menjalankan kajian berkenaan penjanaan tenaga hidrogen daripada sisa makanan.