Oleh Murniati Karim
Foto Kamarul Arifin Mohd. Sanusi
BANGI, 24 Julai 2024 – Institut Biologi Sistem (INBIOSIS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan biofundry pertama di Malaysia bersempena Simposium Antarabangsa Biologi Sintetik dan Teknologi CRISPR 2024 (iSynBioCT2024).
Menurut pengerusi iSynBioCT2024, Dr Ahmad Bazli Ramzi, biofoundry adalah sebuah fasiliti bersepadu menggunakan peralatan dengan keupayaan celusan tinggi dan automatik untuk pembangunan produk berasaskan biologi.
“Biofundry berfungsi sebagai pembangunan pantas bioproduk seperti biopolimer, enzim, asid amino secara mampan.
“Biofoundry ini akan ditawarkan sebagai servis penyelidikan kontrak dan akan memberi manfaat kepada pemegang taruh dari industri dan akademik sebagai pengguna servis biofoundry,” kata Dr Ahmad Bazli yang juga merupakan felo penyelidik INBIOSIS.
iSynBioCT2024 telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani.
Dalam ucapannya, beliau berkata simposium ini boleh menjadi platform interaktif untuk semua di rantau Asia yang akan merangsang penyelidikan kolaboratif menuju kearah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Kami berharap agar simposium ini akan menjadi titik tumpuan untuk kolaborasi antarabangsa dan nasional, perkongsian dan pertukaran pengetahuan antara rakan sebaya serta menyediakan gerbang rangkaian untuk penyelidikan biologi sistem dan sintetik,” katanya.
Simposium ini juga menyaksikan kolaborasi baharu antara INBIOSIS UKM dan Petronas Research Sdn. Bhd. (PRSB) dalam penyelidikan dan pembangunan bioteknologi moden.
Bertemakan ‘Menterjemah Penyelidikan dalam Bioekonomi Mampan Berpandukan Inovasi’, iSynBioCT2024 melibatkan peserta antarabangsa dan delegasi dari Jepun, China, Thailand, Korea Selatan, dan Indonesia.