Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman
BANGI, 9 Ogos 2023 – Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali mencadangkan satu pasukan yang berdedikasi untuk menginstitusikan kerangka Ekonomi Madani.
Pasukan ini diberi mandat untuk melaporkan kemajuan yang dicapai secara terus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, katanya.
Beliau berpendapat beberapa sasaran yang ditetapkan kerangka ekonomi itu dilihat begitu mencabar dan kunci kepada kejayaan adalah bergantung kepada pelaksanaannya.
“Bagi saya kerangka ekonomi Madani ini sangat baik, menepati apa yang kita perlukan, konsisten dengan lain-lain untuk majukan negara cumanya kali ini pertaruhan besar kita adalah kita nak menyaksikan pelaksanaan itu berlaku.
“Secara umumnya, sasaran adalah untuk membawa negara ke depan. Saya melihat kerangka ini bukan sesuatu yang baharu.
“Semua pihak mesti jelas dan faham peranan masing-masing dan bersedia bersama menggerakkan Ekonomi MADANI. Permasalahan mesti ditangani segera,” katanya pada sidang media khas Ekonomi MADANI: Mencapai Sasaran.
Pada 27 Julai lalu, Perdana Menteri mengumumkan Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat sebagai kerangka ekonomi baharu Malaysia bagi mengangkat semula darjat dan martabat negara. Secara umumnya Ekonomi Madani mendasari kepada dua tiang utama iaitu Menstruktur Semula Ekonomi dan Meningkatkan Kualiti Kehidupan Rakyat.