Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 12 Jun 2023 – Pameran Inovasi Penyelidikan (IREX), anjuran Persatuan Siswazah Institut Biologi Sistem (INBIOSIS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi satu platform perintis dalam usaha mengukuhkan minat generasi masa kini terhadap bidang sains, teknologi, inovasi, dan ekonomi (STIE).
Pro-Naib Canselor Strategi dan Kewatanan UKM, Prof. Dato’ Dr. Roslee Rajikan berkata program ini bukan sahaja menyasarkan penglibatan pelajar sekolah menengah, pra-universiti, dan universiti, tetapi juga memberi ruang untuk mencungkil bakat muda yang berpotensi besar dalam bidang ini.
Beliau menekankan kepentingan program seperti IREX dalam menyediakan pelapis yang mampu memastikan aspirasi negara ke arah negara berteknologi tinggi dan berdaya saing dapat dicapai.
“Bidang sains, teknologi dan inovasi perlu dimanfaatkan dan dibangunkan dengan sebaik mungkin untuk memacu negara ke arah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.
“Perkara ini akan memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaya saing terutamanya dalam era teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Selain itu, negara juga memerlukan inovasi dan teknologi hijau bagi memastikan sumber negara diurus dengan sebaik mungkin selain menjamin kelestarian alam sekitar.
“IREX memberi peluang kepada para pelajar untuk membentangkan hasil inovasi penyelidikan mereka kepada juri jemputan, disamping peserta dan pelawat pameran dapat mengikuti slot bicara inovasi dan forum oleh jemputan daripada institusi luar dan industri inovasi,” katanya.
Penganjuran ini juga bertujuan untuk membudayakan aktiviti penyelidikan sains dalam kalangan generasi muda melalui konsep pameran dan pertandingan inovasi sains.
Program IREX 2024 berjaya menghimpunkan sebanyak 63 pasukan yang terdiri daripada 21 pasukan sekolah menengah, empat pasukan pra-universiti, dan 38 pasukan universiti.