Isu Jurang Digital yang dihadapi oleh Masyarakat Desa-Tani dalam konteks Pembangunan dan Revolusi Industri 4.0

Oleh: Sunitha Kanakarajo dan Dr Velan Kunjuraman.

Keterbatasan akses kepada teknologi digital dalam kalangan masyarakat desa-tani mencerminkan ketidakadilan struktur yang wujud dalam masyarakat. Ketidakseimbangan ini bukan sahaja menghalang masyarakat desa daripada mengakses maklumat terkini dan meningkatkan kemahiran digital malah turut menjejaskan peluang mereka untuk terlibat dalam ekonomi digital. Dalam konteks Revolusi Industri 4.0 jurang digital yang dihadapi oleh masyarakat desa-tani mencerminkan ketidaksamaan sosial yang mendalam di mana golongan ini terpinggir daripada proses transformasi ekonomi digital yang sedang berlangsung.

Berdasarkan perspektif sosiologi pembangunan, jurang digital ini boleh dianggap sebagai suatu bentuk peminggiran sosial yang memperkukuh kedudukan marginal masyarakat desa dalam hierarki sosioekonomi negara. Isu ini merungkaikan persoalan bagaimana jurang digital berpotensi mewujudkan kelas digital di mana sebahagian masyarakat terpisah daripada arus kemajuan teknologi sekali gus mencetuskan perpecahan sosial yang lebih ketara. Oleh itu, isu jurang digital dalam kalangan masyarakat desa- tani adalah penting untuk memahami implikasi sosioekonomi serta membantu dalam pembentukan dasar atau polisi yang dapat mengatasi ketidakseimbangan ini.

Salah satu isu utama yang dihadapi oleh masyarakat desa-tani adalah kebolehcapaian jaringan internet yang terhad menjadi proses penghalang utama dalam pembangunan pertanian moden di desa. Walaupun teknologi moden seperti automasi, data besar dan sistem pemantauan pintar semakin digunakan untuk meningkatkan hasil pertanian khususnya petani sering kali terhalang dalam mengakses teknologi ini. Dalam konteks ini, Bourdieu (1986) menegaskan bahawa individu dalam masyarakat mempunyai akses yang berbeza kepada pelbagai bentuk modal sosial seperti rangkaian sosial dan sokongan komuniti.

Jurang Digital

Dalam konteks jurang digital, kekurangan modal budaya iaitu pengetahuan dan kemahiran sering menjadi halangan utama kepada penduduk desa untuk mengakses teknologi digital. Selain itu, petani desa yang kurang berpendidikan digital dan tidak memiliki akses kepada infrastruktur seperti kadar kebolehcapaian internet yang rendah serta kekurangan modal digital menyebabkan mereka terpinggir dari kemajuan dalam sektor pertanian moden yang secara tidak langsung menghalang peningkatan taraf hidup mereka. Selanjutnya, Rangka Tindakan MYDIGITAL dalam konteks pertanian bertujuan untuk menyarankan penggunaan teknologi seperti Internet of Things (IoT) yang membolehkan pemantauan dan pengurusan ladang secara automatik. Hal ini kerana, teknologi ini membantu mengurangkan penggunaan sumber secara lebih cekap seperti baja organik yang menjimatkan kos serta menggalakkan kesuburan dan perkembangan hasil tanaman yang maksimum.

Selanjutnya, jurang antara masyarakat yang tinggal di kawasan bandar dan desa merupakan salah satu faktor fizikal yang membawa kepada masalah kemiskinan digital. Oleh itu, isu ini boleh dikaitkan dengan teori startifikasi sosial iaitu akses kepada sumber seperti pendidikan dan teknologi yang diagihkan secara tidak seimbang kepada pelajar desa. Justeru itu, ketidaksamaan sosial bukan sekadar berlaku pada peringkat individu tetapi juga merupakan hasil struktur dan sistem sosial yang membatasi akses dan peluang bagi golongan tertentu. Secara realitinya, pelajar tinggal di kawasan desa berpotensi besar untuk berhadapan dengan keciciran di dalam pelajaran akibat daripada kesukaran dalam mendapatkan rangkaian internet.

Hal ini boleh dilihat sebagai refleksi kepada struktur ketidaksamaan kelas yang diungkapkan oleh Karl Marx, di mana kemiskinan digital ini mencerminkan pelajar desa dari keluarga berpendapatan rendah tidak berpeluang untuk menikmati akses yang sama sekali gus menyebabkan mereka semakin terpinggir akibat kemudahan teknologi yang dikuasai oleh golongan atasan (upper class) yang tinggal di bandar. Justeru itu, keluarga B40 yang tinggal di desa mempunyai masalah kewangan dilihat akan terkesan untuk menyediakan keperluan yang terbaik kepada anak-anak mereka dari segi keperluan gajet, pembelian data atau internet dan sebagainya. Dalam konteks ini, penduduk desa mempunyai kurang kemahiran dan pengetahuan terutama dalam menjana pendapatan tinggi. Hal ini kerana, mereka kurang mempunyai pengetahuan tentang akses perniagaan sendiri dalam talian. Justeru itu, mereka yang bekerja sebagai buruh terpaksa bergantung pendapatan minima yang sedia ada.

Jadi, Pelan Jalur Lebar Kebangsaan (PJLK) yang merupakan polisi ataupun strategi kerajaan Malaysia yang bertujuan untuk mengatasi isu jurang digital di desa dilihat mampu merapatkan jurang ini. Polisi ini membantu meningkatkan akses kepada rangkaian internet melalui pembangunan infrastruktur jalur lebar. Namun begitu, terdapat beberapa kekurangan dalam pelaksanaan polisi iaitu kos yang tinggi.

Kekurangan

Kelajuan yang rendah dan harga jalur lebar yang tinggi adalah kekangan dalam pembangunan teknologi digital di Malaysia. Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2024 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan Malaysia, perubahan teknologi yang pantas dan penggunaan yang rendah menjadi cabaran di desa khususnya dalam aktiviti perniagaan. Pada masa ini, Malaysia menduduki tempat kelima selepas Singapura, Vietnam, Brunei dan Myanmar dalam kalangan negara Asia Tenggara dari segi purata kelajuan rangkaian 5G.

Di samping itu indeks penggunaan digital oleh Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) adalah rendah berbanding negara lain di rantau ini. Oleh itu, kerajaan Malaysia telah menjalin hubungan dengan projek starlink oleh SpaceX telah menawarkan akses internet berkelajuan tinggi dengan kos yang lebih rendah berbanding satelit geostasioner. Teknologi ini berpotensi untuk memperluaskan liputan jalur lebar ke kawasan terpencil dan pedalaman yang sukar dijangkau oleh rangkaian konvensional seperti menara telekomunikasi High Link Rural (HLR).

Kesimpulannya, ketidakmampuan masyarakat desa untuk mengakses dan menguasai teknologi menyebabkan mereka terpinggir dari arus pembangunan digital dan ekonomi. Sehubungan itu, para pakar perancang sosial perlu memanfaatkan ilmu sosiologi untuk merangka pendekatan yang lebih berkesan dalam memperkasa pengetahuan dan kemahiran teknologi di desa. Melaui penyelidikan dan pembangunan komuniti luar bandar (Reseach and Development Rural Society) yang fokus kepada keperluan masyarakat desa-tani dapat dikenal pasti bagi merangka strategi yang relevan. Usaha ini bukan sahaja dapat merangsang transformasi industri tradisional desa sekaligus menyumbang kepada pencapaian matlamat pembangunan mampan (SDG) khususnya Matlamat ke-9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur) dan Matlamat ke-10 iaitu mengurangkan ketidaksamaratan digital dan pembangunan desa ke arah inklusif dan berdaya saing.

Leave a Reply