Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
BANGI, 5 Mac 2024 – Jalinan kerjasama yang dilakukan oleh Fakulti Farmasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Universitas Alma Ata (UAA), Indonesia dapat meningkatkan kecekapan sumber manusia, mengoptimumkan input untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran serta meningkatkan kecekapan tadbir urus universiti.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dato’ Dr Wan Kamal Mujani dalam ucapannya berkata jaringan kerjasama itu tidak tertumpu kepada kolaborasi bersama sahaja, tetapi penyelidikan dan khidmat masyarakat juga boleh diperluas bagi manafaat bersama pada masa akan datang.
“UKM membuka seluas-luasnya hubungan baik ini dalam pelbagai bidang dan lapangan.
“Kita (UKM) juga sentiasa bersedia dan berbesar hati dalam menerima sebarang kerjasama dan perkongsian sama ada dari dalam negara mahupun luar negara bagi mewujudkan kerjasama, terutamanya kerjasama yang dapat membantu meningkatkan lagi pembangunan modal insan warga UKM,” katanya.
Beliau berharap agar kerjasama itu akan mampu mencapai matlamatnya dan dapat diperluaskan lagi dalam pelbagai bidang yang lain pada masa akan datang.
Kerjasama yang dijalin ini akan melibatkan penyelidikan, penerbitan, jurnal, pertukaran pensyarah dan pelajar.
MoU ini ditandatangani oleh beliau yang mewakili UKM, manakala UAA diwakili oleh Rektornya, Prof. Dr. Hamam Hadi.
Majlis Menandatangani MoU yang diadakan di Bilik Senat hari ini turut dihadiri oleh Dekan Fakulti Farmasi UKM, Prof. Dr. Mohd Makmor Bakry dan Wakil Rektor Bidang Pengembangan Akademik dan MBKM Universitas Alma Ata, Dr. Muh. Mustakim.