Oleh Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Kuala Lumpur, 11 Jun 2024 – JomCheck Malaysia telah menganjurkan bengkel Klinik Cerdik Fakta (KLICK) untuk berkongsi ilmu berkaitan literasi media kepada komuniti penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Sri Sarawak, Pudu, baru-baru ini.
KLICK yang dianjurkan buat julung kalinya ini telah dihadiri seramai 30 orang peserta yang berumur antara 30 hingga 78 tahun.
KLICK adalah sebahagian daripada usaha JomCheck untuk membanteras penyebaran maklumat palsu yang berpotensi menyebabkan masyarakat terdedah kepada khabar angin serta ancaman penipuan (scam) yang merugikan.
Ketua Sekretariat JomCheck Malaysia, Prof. Madya Dr. Sabariah Mohamed Salleh berkata penggunaan media sosial yang aktif pada hari ini telah menyebabkan pelbagai jenis maklumat yang belum dipastikan kesahihannya tersebar dengan begitu pantas.
“Oleh itu, melalui JomCheck usaha untuk meningkatkan kemahiran menyemak fakta dapat disemai dalam kalangan masyarakat bagi mengelakkan daripada mereka menjadi mangsa penipuan,” katanya.
KLICK menfokuskan kepada inisiatif untuk meningkatkan kebolehan mengenalpasti kandungan yang mencurigakan serta mengetahui cara melakukan semakan fakta.
Segmen pertama bengkel adalah melalui perkongsian contoh-contoh maklumat palsu yang mengelirukan dan cara untuk melakukan penilaian kepada setiap jenis maklumat yang diterima sebelum membuat sebarang tindakan selanjutnya.
Segmen kedua bengkel pula menguji kemahiran peserta menilai kesahihan maklumat di lima stesen yang disediakan.
JomCheck adalah satu usaha membina kerjasama dalam melawan sebaran maklumat tidak benar kelolaan Pusat Kajian Media dan Komunikasi (Mention), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan sokongan Google News Initiative.
Ia menggabungkan pihak akademik, media dan organisasi masyarakat yang berusaha melawan sebaran maklumat tidak benar dalam kalangan rakyat Malaysia.