Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat
KUALA LUMPUR, 16 Ogos 2024 – Penganjuran program Karisma Pemikir Madani Pengurusan Tertinggi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah inisiatif penting dalam merangka masa depan pendidikan tinggi negara, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Ts. Mustapha Sakmud.
Beliau berkata program yang diadakan itu dirangka bagi membentuk universiti berteraskan negara bangsa, khususnya dalam konteks UKM sebagai peneraju pendidikan tinggi di Malaysia.
“Melalui program ini, saya berharap agar kita dapat melahirkan pemikir dan pemimpin di UKM yang mampu menerapkan prinsip Malaysia MADANI iaitu Maju, Aman, Damai, Inklusif dan Sejahtera dalam pengurusan dan pentadbiran universiti serta terus menjadi universiti berteraskan negara bangsa.
“Ini adalah langkah penting untuk memastikan UKM bukan sahaja memenuhi standard institut pengajian tinggi semasa, tetapi juga memacu dalam kecemerlangan akademik, penyelidikan, dan sumbangan kepada komuniti,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup program Karisma Pemikir Madani Pengurusan Tertinggi UKM – Sederap Mencorak Masa Depan UKM, di Pusat Dagangan Dunia, semalam.
Tambah beliau, sebagai sebuah institusi yang membentuk masa depan negara, institut pengajian tinggi perlu menjadi perintis dalam menggabungkan teknologi terkehadapan dengan nilai-nilai negara bangsa.
“UKM sebagai contoh, perlu memperkasa pengajaran dan penyelidikan yang bukan sahaja memanfaatkan teknologi terkini tetapi juga mengekalkan keutuhan budaya dan warisan kita.
“Saya percaya bahawa UKM mempunyai potensi besar untuk menjadi pusat kecemerlangan yang berasaskan identiti nasional,” katanya.
Dalam majlis itu juga, Datuk Ts. Mustapha turut menyimpan lapan resolusi Program Karisma Pemikir Madani Pengurusan Tertinggi UKM ke dalam kapsul masa yang akan diletakkan di Muzium Warisan Akademik UKM, dan akan dibuka semula selepas lima dekad.
Resolusi yang dibuat melalui sesi Perbincangan Meja Bulat (RTD) Sederap Mencorak Masa Depan UKM menjadi satu bukti kesungguhan barisan kepimpinan UKM dalam menjadikan UKM sebuah universiti pembina masa depan negara bangsa.