Oleh Asmahanim Amir
Foto Fakulti Pendidikan
BANGI, 31 Mei 2024 – Karnival Inklufest yang dianjurkan oleh pelajar tahun 3 Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menonjolkan kepentingan inklusiviti dalam pendidikan bagi menggalakkan penerimaan dan kefahaman yang lebih mendalam terhadap isu-isu yang dihadapi oleh golongan orang kurang upaya (OKU).
Pro Naib Canselor Strategi dan Kewatanan, Prof Dato’ Dr Roslee Rajikan berkata Karnival Inklufest itu adalah suatu usaha murni yang mencerminkan komitmen UKM dalam mewujudkan kampus yang inklusif.
“Universiti watan akan sentiasa komited untuk memenuhi hak setiap individu, termasuk komuniti OKU. Inisiatif-inisiatif seperti pelaksanaan Polisi Inklusif OKU UKM, penubuhan Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU UKM, serta penyediaan infrastruktur mesra OKU di seluruh kampus adalah antara langkah yang telah diambil oleh UKM dalam usaha untuk memperkasakan inklusiviti OKU.
“Namun, kita tidak harus berpuas hati setakat itu sahaja. Tugas kita adalah memastikan usaha-usaha ini terus lestari dalam mewujudkan budaya komuniti kampus yang prihatin terhadap OKU,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian Karnival Inklusif, di sini, baru-baru ini.
Justeru, Prof Dato’ Dr Roslee menyeru agar lebih banyak program seperti Karnival Inklufest dianjurkan pada masa akan datang demi melestarikan kesedaran tentang inklusiviti OKU.
“Karnival seumpama ini dilihat sebagai platform yang sesuai untuk membuka mata masyarakat mengenai keperluan dan potensi golongan OKU, sekaligus menggalakkan keterbukaan masyarakat terhadap OKU.
“Buktinya, aktiviti-aktiviti dalam karnival ini seperti explorasi OKU Sejahtera dan Inklu-Ekspo direka khas agar mudah diakses oleh semua, tanpa mengira keupayaan fizikal atau mental,” ujarnya.
Sementara itu, Dekan Fakulti Pendidikan, Prof Dr Mohd Mahzan Awang berkata Fakulti Pendidikan berhasrat untuk menjadi tempat untuk semua individu, tanpa mengira latar belakang atau keupayaan, memiliki akses yang sama kepada peluang pendidikan.
“Kami berusaha untuk mewujudkan persekitaran pendidikan yang inklusif, di mana setiap pelajar, termasuk golongan OKU, dapat berkembang secara holistik dan mencapai potensi maksimum mereka,” katanya.
Menurut beliau, melalui Karnival Inklufest ini fakulti itu berharap dapat meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat tentang inklusiviti OKU melalui pelbagai pengisian bermakna, seperti simposium, Inklu-Ekspo dan Eksplorasi OKU Sejahtera.
Selain itu, katanya karnival tersebut juga dilihat sebagai platform yang sesuai untuk mengetengahkan pelajar Program Pendidikan Khas yang berkebolehan, sejajar dengan matlamat Fakulti Pendidikan yang ingin melahirkan modal insan yang berkeupayaan tinggi, termasuk dalam memperjuangkan hak dan inklusiviti OKU padai masa hadapan.