Murniati Abu Karim
Foto Pusat Komunikasi Korporat
28 November 2022 – Kekurangan diri bukanlah penghalang buat beberapa graduan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk menggenggam segulung ijazah, pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ke-50.
Mohamad Hafizzudin Mohd Fadeli, 30, yang merupakan OKU penglihatan terhad, antara graduan yang berjaya memperoleh ijazah dalam program Sarjana Sains Bioteknologi Tumbuhan.
Graduan yang bekerja sebagai guru di sebuah sekolah swasta itu berkata beliau disahkan kehilangan 80 peratus medan penglihatan disebabkan oleh glaucoma pada tahun 2008.
“Saya didaftarkan sebagai OKU pada tahun 2010 selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia sebagai legal blind kerana mempunyai medan penglihatan kurang dari 10 peratus,” katanya.
Hafizuddin berkata antara cabaran yang dihadapinya adalah tanggapan negatif masyarakat terhadap kebolehan OKU penglihatan sepertinya tidak mampu belajar dalam bidang sains.
“Ketika saya mengambil bidang sains sebagai pilihan pengajian, semua orang meragui diri saya dan mengatakan bidang ini sangat susah buat orang yang kelainan upaya.
“Saya juga mengalami masalah pengangkutan dimana saya tidak boleh ambil lesen kenderaan dan banyak bergantung pada orang sekeliling untuk bergerak.
“Apabila berada di kawasan yang tidak dikenali, saya akan terdedah kepada risiko kemalangan dan perlu lebih berhati-hati ketika berjalan dan bergerak,” katanya.
Menurutnya, beliau juga mengalami tekanan perasaan kerana dunia pascasiswazah lebih sunyi dan tidak mempunyai ramai kawan untuk mengadu masalah.
Graduan OKU yang turut menerima ijazah dalam program Sarjana Pentadbiran Perniagaan adalah Nur Ashikeen Iqbal yang merupakan OKU berkerusi roda selepas terlibat dalam sebuah kemalangan langgar lari 14 tahun yang lalu.
“Kemalangan langgar lari pada 2008 telah menyebabkan saya lumpuh dari bahagian pinggang ke bawah.
“Bagaimanapun, saya tidak pernah menyesali apa yang tuhan telah tentukan buat saya, malah saya akan terus bersikap positif untuk terus berjaya dalam hidup serta fokus kepada kelebihan yang ada pada diri saya.”
“Saya merancang untuk terus bergiat aktif dalam bidang perniagaan dan mula mempromosikan produk minyak wangi organik saya di pelbagai platform supaya saya dapat membuka peluang pekerjaan kepada lebih ramai warga OKU,” katanya.
Selain itu, graduan OKU penglihatan dan pertuturan, Wan Abdul Hasib Wan Arif, 24, turut berjaya memperoleh ijazah dalam program Sarjana Pentadbiran Perniagaan.
Graduan itu berkata dia menghadapi cabaran ketika melakukan pembentangan berkumpulan kerana mempunyai masalah untuk bercakap dengan jelas semasa di awal semester pengajiannya.
“Bagi semester seterusnya, mengambil keputusan untuk menggunakan sebuah aplikasi text-to-speech untuk membentangkan bahagian saya tanpa perlu bergantung kepada orang lain.
“Saya berhasrat untuk menyambung pelajaran ke peringkat kedoktoran kerana saya bercita-cita untuk membuat kajian tentang cara yang sesuai untuk membantu golongan OKU dalam bidang pelajaran dan juga sektor pekerjaan bedasarkan jenis-jenis keupayaan mereka,” katanya.
Tambahnya, dia berharap agar OKU mampu menjadi tenaga pekerja dalam memberikan sumbangan kepada masyarakat serta mengurangkan stigma masyarakat terhadap golongan ini, terutamanya dalam sektor pekerjaan awam dan swasta.
Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata majlis konvokesyen kali ini meraikan 11 orang graduan OKU.
“Pelbagai kemudahan OKU ada disediakan di semua kampus UKM bagi memastikan kesejahteraan semua warga terpelihara.
“Apa yang penting buat semua mahasiswa UKM, khususnya pelajar OKU adalah persekitaran yang kondusif, selamat dan selesa bagi memastikan aktiviti pembelajaran berjalan dengan lancar.
“Prakarsa ini sentiasa menjadi salah satu keutamaan UKM dalam mencapai kualiti pendidikan bertaraf dunia, seiring keperluan semasa,” katanya.
Beliau berkata antara prasarana mesra OKU yang ada di UKM adalah van mobiliti OKU, bilik kediaman khas untuk OKU, perkhidmatan jurubahasa isyarat, sokongan psikologi, sokongan bantuan kewangan dan sokongan pembelian alat keperluan.