Oleh Murniati Abu Karim
Foto Pusat Komunikasi Korporat
Pendidik di Malaysia perlu kekal relevan untuk mempersiapkan pelajar dengan pelbagai kemahiran yang diperlukan untuk pekerjaan masa depan selari dengan Revolusi Industri keempat (4IR).
Sehubungan itu, kerangka pedagogi digital kalis masa depan telah dibangunkan sebagai mekanisme utama untuk memastikan reka bentuk pembelajaran kekal relevan.
Karangka ini dibentangkan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dato’ Ts Dr Norazah Mohd Nordin dalam Syarahan Perdana Profesor ke-212 yang bertajuk Kerangka Pedagogi Digital: Ke Arah Pendidikan Kalis Masa Depan.
Menurut Prof Dato’ Dr Norazah, kerangka ini direka dengan mengintegrasikan teknologi digital dalam proses pembelajaran dan pengajaran, termasuk kecerdasan buatan, pemprosesan data raya, realiti maya dan terimbuh, serta komputasi awan.
“Kerangka pedagogi digital kalis masa depan melibatkan reka bentuk pedagogi, ruang pembelajaran, dan teknologi masa depan.
“Ia merangkumi kaedah inovatif dan penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran yang tidak hanya melibatkan penggunaan peranti digital atau aplikasi pembelajaran, tetapi juga prinsip-prinsip pedagogi yang kukuh untuk meningkatkan pengalaman pendidikan,” katanya.
Selain itu, model Higher Education Active Learning Spaces (HEALS) telah diaplikasi di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dengan mengubahsuai lapan ruang pembelajaran.
Menurutnya, model ini mengandungi tiga aspek utama iaitu pedagogi, ruang, dan teknologi, serta menggabungkan tujuh lapisan spektrum iaitu keselesaan (comfort), estetik (aesthetic), aliran (flow), kesaksamaan (equity), percambahan (blending), kebolehlaksanaan (affordance), dan kebolehgunaan semula (repurposing), dikenali dengan akronim CAFEBAR.
“Penggunaan ruang pembelajaran inovatif bersama pedagogi yang sesuai dan teknologi yang tepat telah memberi impak positif kepada pembelajaran aktif.
“Gabungan tujuh lapisan spektrum dalam Model HEALS telah menunjukkan pulangan besar terhadap pelaburan dalam aspek ruang pembelajaran di pendidikan tinggi,” katanya.
Disamping itu, Prof Dato’ Dr Norazah berkata pembelajaran berasaskan teknologi telah terbukti berkesan dalam mengubah bilik darjah konvensional menjadi bilik darjah abad ke-21 yang dinamik dengan transformasi digital dalam pendidikan bersama Google.
“Google for Education membawa banyak perubahan dengan pelbagai peranti dan aplikasi untuk pendidikan.
“Projek Pendidikan Google yang diteraju oleh penulis mengkaji faedah transformasi digital dalam bilik darjah di Malaysia menggunakan Google Apps untuk pendidikan dan Chromebook sebagai peranti.
“Kajian telah menunjukkan penggunaan pedagogi digital mampu meningkatkan pengalaman pembelajaran dan proses pengajaran dan pembelajaran lebih menarik, berkesan, dan menyeronokkan,” katanya.