Oleh Asmahanim Amir
Foto Jamaludin Saleh
BANGI, 18 Disember 2023 – Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meneruskan kolaborasi bersama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memantapkan dan memajukan pendidikan syariah, kehakiman dan guaman Islam di Malaysia.
MoU itu ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehhwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani yang mewakili UKM dan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Datuk Mohd Shukor Sabudin, mewakili JKSM.
Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal berkata kerjasama itu bukan sahaja meningkatkan kualiti pengajaran, tetapi juga memberi peluang kepada mahasiswa untuk belajar secara langsung dari amalan di lapangan, sekaligus menggabungkan teori dan praktikal dengan sempurna.
Melalui MoU ini, katanya, ia akan meningkatkan penyelidikan bersama yang akan menghasilkan penemuan dan inovasi baharu dalam bidang guaman Syarie dan kehakiman Islam, selain mengembangkan penerbitan bersama sebagai wadah untuk mempromosikan dan memperkuat pemahaman syariah, tidak hanya dalam kalangan ahli akademik dan mahasiswa, tetapi juga kepada masyarakat umum.
“Selain itu, kolaborasi ini juga dapat mewujudkan program pertukaran penempatan kakitangan yang tidak hanya memperkaya pengalaman kerja, tetapi juga mempererat hubungan antara kedua-dua institusi dan dapat memastikan penempatan pelajar program diploma di JKSM dan JKSN di setiap negeri berjalan lancar,” katanya semasa menyampaikan ucapan semasa Majlis Menadatangani MoU antara UKM dengan JKSM, di sini, hari ini.
Beliau berharap agar dengan termeterainya MoU itu, ia dapat membuka jalan untuk belajar secara langsung dalam industri serta dapat melibatkan lebih ramai ahli akademik dalam pembinaan kertas polisi yang boleh dilaksanakan di JKSM dan mahkamah Syariah di seluruh Malaysia dan penglibatan dalam proses pembaharuan undang-undang Islam di Malaysia.
“Program Diploma Pascasiswazah Kehakiman dan Guaman Islam, yang merupakan salah satu inisiatif utama dari kerjasama ini, telah mencapai kejayaan yang luar biasa.
“Sejak dilancarkan pada tahun 1995, program ini telah melahirkan seramai 1,805 para graduan yang bukan sahaja cemerlang secara akademik tetapi juga berdaya saing dan kompeten dalam sektor kehakiman Islam dan guaman syarie. Mereka merupakan aset yang berharga bagi masyarakat dan negara kita, membawa perubahan positif dalam sistem kehakiman Islam di Malaysia.
“Saya percaya, dengan kerjasama yang lebih mendalam ini, kita dapat mencapai visi bersama untuk meningkatkan standard pendidikan dan amalan kehakiman Islam dan guaman syarie di Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, Datuk Mohd Shukor berkata melalui MoU itu, segala isu, permasalahan atau persoalan yang melibatkan syariah dan memerlukan penelitian yang khusus dapat dilakukan dengan penyelidikan bagi menghasilkan penyelesaian yang tuntas kepada isu-isu tersebut.
“Usaha ini tidak akan terhasil dengan baik jika dilakukan bersendirian. Jadi, kerjasama antara UKM dan JKSM amat diperlukan melalui penyelidikan atau modul-modul yang dihasilkan bagi membantu kita mencari penyelesaian kepada kes,” katanya.
Pemeteraian MoU ini telah disaksikan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Dato’ Abas Nordin dan Dekan Fakulti Pengajian Islam,Prof. Madya Dr. Ahmad Sunawari Long.