Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
BANGI, 11 Julai 2024 – Fakulti Undang-Undang (FUU), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membuat jaringan strategik dengan Asosiasi Pimpinan Perguruan Tinggi Hukum Indonesia (APPTHI) bagi membentuk generasi berpendidikan tinggi dan berdaya saing di peringkat global.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dato’ Ts Dr Norazah Mohd Nordin berkata kerjasama yang dikukuhkan dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) ini adalah titik permulaan kolaborsi kedua-dua pihak.
“Melalui ikatan erat bersama institusi terlibat bukan sahaja akan mengukuhkan kerjasama akademik dan penyelidkan, tetapi akan membuka peluang kerjasama yang pelbagai dalam memperkasakan sistem keadilan dan pembangunan insan,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Menandatangani MoU antara UKM dengan APPTHI di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata MoU itu melambangkan satu lagi kejayaan dalam memberi impak positif kepada para pelajar, fakulti, dan bidang ilmu yang memupuk inovasi lebih cemerlang di peringkat antarabangsa.
“Aktiviti kerjasama ini sememangnya selari dengan TERAS UKM iaitu kualiti pendidikan dan penyelidikan. Dengan kerjasama ini, kami berharap agar kita dapat mencapai kejayaan yang lebih besar dalam usaha untuk membentuk generasi berpendidikan tinggi dan berdaya saing di peringkat global,” ujarnya.
FUU UKM memainkan peranan penting dalam pembangunan ilmu undang-undang, pembentukan profesional undang-undang masa hadapan, serta penyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara secara keseluruhannya.
“Dengan kerjasama ini, APPTHI yang berperanan sebagai satu pimpinan yang mengumpulkan ilmu perundangan dari pelbagai universiti di Indonesia akan membantu dalam kemajuan penyelidikan bagi menghasilkan masyarakat global yang membangun melalui sistem keadilan yang cekap dan berkesan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata hasrat setiap fakulti undang-undang yang terlibat untuk menjadi sebuah institusi yang terkehadapan dalam perundangan moden dapat memberi manfaat berpanjangan dan menjadi teladan bagi institusi lain di rantau ini.
“Dalam semangat kerjasama ini, UKM juga berhasrat untuk melihat para pelajar berkembang dan menjadi pemimpin yang cemerlang dalam bidang kehakiman dan undang-undang, serta menyumbang kepada pembangunan negara dengan penuh dedikasi dan integriti.
“Justeru, setiap institusi harus terus berusaha dan komited dalam menjayakan semua aktiviti yang dirancang dari masa ke masa demi kemajuan Pendidikan tinggi negara-negara ASEAN.
“Saya berharap semoga usaha yang telah dilaksanakan ini tidak terhenti di sini sahaja tetapi sentiasa ditingkatkan bagi melestarikan dan menjamin kualiti pendidikan,” katanya.