Oleh Phoon Li Juan @ Roovasini
Foto Izwan Azman
KUALA LUMPUR, 19 Oktober 2023 – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menandatangani Memorandum Kerjasama Penyelidikan (MoA) untuk meningkatkan kesedaran generasi muda khususnya anggota koperasi sekolah terhadap isu perubahan iklim dan kepentingan melestarikan alam sekitar serta ekosistem hutan.
Penyelidikan kerjasama ini dimeterai bermula Oktober 2023 hingga September 2025 yang memfokuskan kepada meningkatkan kesedaran anggota koperasi sekolah terhadap kepentingan hutan dan perubahan iklim menerusi Program Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok.
Selain itu, kajian ini juga menumpukan impak perubahan iklim jangka pendek dan jangka panjang yang disebabkan oleh kegiatan manusia, serta langkah-langkah proaktif yang boleh diambil dalam usaha mengurangkan impak bagi menangani kesan perubahan iklim.
Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani, program kerjasama ANGKASA dan UKM ini adalah selari dengan gagasan MADANI dan falsafah TERAS UKM.
Selain itu, katanya, penekanan UKM tiga bidang utama ESG iaitu Environmental (Alam Sekitar), Social (Sosial) dan Governance (Tatakelola) diharap dapat memberikan kejayaan kepada projek kajian yang bakal dijalankan.
“Kajian ini dilihat amat penting bagi menilai kesedaran generasi muda terhadap tanggungjawab mereka dalam menjaga alam sekitar melalui inisiatif penghijauan Malaysia yang dilancarkan oleh kerajaan,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, isu perubahan iklim ini bukan sahaja memberi kesan kepada persekitaran malah memberi kesan kepada landskap ekonomi, sosial dan juga politik.
“Oleh itu, ANGKASA komited dengan meneraju gerakan koperasi dalam merealisasikan agenda nasional iaitu Penghijauan Malaysia yang selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG2030) dan Dekad Pemulihan Ekosistem atau United Nation (UN) Decade on Ecosystem Restoration 2021-2030”.
Kerjasama sebelum ini berjaya memanfaatkan 2,481 koperasi sekolah di seluruh Malaysia dengan keanggotaan berjumlah kira-kira dua juta individu dengan membangunkan modul pendidikan dan pembelajaran bertajuk “Sejuta Pokok Segunung Harapan” pada tahun 2021.