Kerjasama UKM dan INTAN Perkukuh Kelayakan Akademik Penjawat Awam

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

KUALA LUMPUR, 18 Disember 2024 – Kerjasama yang terjalin antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) denga Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) melalui pemeterain Memorandum Persefahaman (MoU) mencerminkan komitmen UKM dalam menyokong agenda negara bagi memperkukuh kelayakan akademik penjawat awam.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, prof Dr Abdul Halim Abdul Gafor berkata kerjasama itu yang bermula melalui laluan APEL.Q matlamat untuk memperkasakan penjawat awam melanjutkan pengajian berdasarkan pengalaman mereka.

“Usaha ini menjadi lebih bermakna dengan sokongan yang diberikan oleh YAB Perdana Menteri melalui amanat beliau, yang turut menekankan peluang pembelajaran serta bantuan kewangan bersasar kepada penjawat awam.

“Ini merupakan satu lonjakan besar ke arah menyokong aspirasi negara bagi melahirkan penjawat awam yang lebih berilmu dan kompeten,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani MoU antara UKM dan INTAN, di sini, semalam.

Majlis itu juga turut menyaksikan pemeteraian MoU antara INTAN dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang diwakili oleh Naib Canselornya, Prof. Dato’ Dr. Md. Amin Md Taff.

Beliau berkata, hasil kolaborasi erat bersama INTAN, UKM telah berjaya melaksanakan hampir 20 sesi pameran dan taklimat di seluruh negara, termasuk di Sabah.

“UKM juga kini menawarkan dua program APEL.Q di peringkat Sarjana yang telah mendapat kelulusan MQA, dan sehingga kini terdapat seramai 27 pelajar aktif dalam 2 program ini iaitu Sarjana Keselamatan Siber di Fakulti Teknologi dan Sains  Maklumat dan Sarjana Pengurusan Keselamatan Industri di Fakulti Sains dan Teknologi,” ujarnya.

Tambah beliau, terdapat tambahan tiga lagi program baharu yang telah mendapat kelulusan awal dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan bakal memperluaskan lagi peluang pembelajaran kepada lebih ramai penjawat awam.

“Tiga program baharu tersebut adalah program Doktor dalam Pengajian Tinggi (Fakulti Pendidikan), Doktor dalam Pengurusan Perniagaan (GSB-UKM) dan Sarjana Sains Politik (Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan).

“Pada masa yang sama, UKM juga sedang giat membangunkan dokumen program APEL.Q baharu untuk menawarkan lebih banyak pilihan kepada calon-calon yang layak,” katanya.

Menurut beliau, kejayaan itu mencerminkan komitmen UKM dalam menyokong agenda negara bagi memperkukuh kelayakan akademik penjawat awam berdasarkan pengalaman mereka.

Leave a Reply