Oleh Asmahanim Amir
Foto Kamarul Arifin Mohd. Sanusi
BANGI, 13 Disember 2024 – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.
Pelantikan ini diberikan sebagai penghormatan tertinggi UKM terhadap kepakaran, pengalaman, dan sumbangan signifikan Tan Sri Razarudin dalam bidang kepolisan, keselamatan negara, dan ketenteraman awam.
Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani, lantikan itu bukan sahaja mengiktiraf pencapaian cemerlang Tan Sri Razarudin tetapi juga mewujudkan peluang besar untuk memperkukuhkan hubungan strategik antara akademia dan sektor kepolisan.
“Kerjasama rasmi antara UKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah lama terjalin, termasuk usaha signifikan dalam menangani ancaman bahan psikoaktif baharu (NPS) melalui pelbagai inisiatif penyelidikan dan pembangunan.
“Projek kerjasama yang melibatkan beberapa fakulti utama di UKM telah menghasilkan impak besar, termasuk pembangunan teknologi, aturcara latihan profesional untuk kakitangan PDRM, dan penyelidikan bernilai RM8.48 juta.
“Kepakaran Tan Sri Razarudin akan memberi nilai tambah kepada usaha kami (UKM) untuk meningkatkan mutu program akademik, penyelidikan, serta fasiliti universiti,” Ujar Prof Dato’ Dr Wan Kamal.
Katanya, dengan pelantikan tersebut, UKM berharap dapat memperkukuh peranan universiti sebagai peneraju dalam pelbagai bidang penyelidikan dan inovasi, sejajar dengan visi sebagai universiti watan.
Majlis hari ini menjadi titik tolak kepada hubungan lebih erat antara UKM dan PDRM, khususnya dalam bidang keselamatan awam, serta menyumbang kepada agenda pembangunan negara secara menyeluruh.
Sementara itu, Tan Sri Razarudin turut menyampaikan Syarahan Profesor Adjung bertajuk Menangangi Cabaran Narkotik dan NPS: Sains dan Teknologi Sebagai Senjata dan Force Multiplier.
Dalam syarahannya, beliau berkata kerjasama antara UKM dan PDRM, khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) adalah melibatkan beberapa aspek yang berbeza iaitu membolehkan asal usul bahan narkotik, khususnya NPS dikesan secara forensik dan memahami dos dan kesan ketagihan NPS.
“Kerjasama ini juga adalah bagi mewujudkan sistem maklumat forensik molekul bagi NPS, membolehkan NPS dikesan dan dikenalpasti dengan mudah di lapangan dan mengesan kehadiran bahan narkotik, khususnya NPS di sampel air kumbahan,” katanya.
Tan Sri Razarudin yang memegang jawatan Ketua Polis Negara sejak Jun 2023, merupakan alumni UKM dan pernah dianugerahkan sebagai graduan terbaik dalam program Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan pada tahun 2011.
Majlis yang berlangsung di Dewan Auditorium Permata Pintar, UKM ini turut dihadiri oleh Pengarah JSJN, Datuk Seri Khaw Kok Chin, Ketua Program bagi usahasama PDRM dengan UKM, Prof. Dato’ ChM. Dr. Mohammad Kassim dan Dekan FST, Prof ChM Dr Ishak Ahmad.