Oleh Murniati Abu Karim
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 24 November 2023 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan mengadakan Majlis Konvokesyen ke-51 bermula 25 hingga 30 November ini di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Bangi.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, UKM akan menganugerahkan ijazah kepada 7,255 graduan yang merangkumi pelbagai peringkat pengajian iaitu ijazah doktor falsafah, sarjana, sarjana muda dan diploma pascasiswazah.
“Dengan berlangsungnya konvokesyen ini maka, jumlah graduan UKM hingga tahun 2023 adalah seramai 229,452,” katanya.
Manurutnya, majlis akan dimulakan dengan Pengisytiharan Konvokesyen yang disempurnakan oleh Canselor UKM, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Di majlis ini juga akan dimasyhurkan pelantikan dua Pro Canselor UKM yang baharu di samping penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada Presiden World Economic Forum, Borge Brende dan gelaran Profesor Emeritus kepada lapanorang tokoh akademik UKM bagi menghargai sumbangan kesarjanaan yang telah membentuk legasi keilmuan tinggi dalam bidang masing-masing.
Selain itu, majlis akan meraikan dua orang penerima Anugerah Pelajaran Diraja bersama enam orang penerima anugerah utama universiti yang lain.
Mohd Ekhwan turut menjelaskan sebanyak 86.3 peratus graduan UKM tahun lalu telah bekerja, sekaligus menunjukkan peningkatan sebanyak 6.3 peratus berbanding 80 peratus pada tahun sebelumnya.
Tambahnya daripada jumlah itu, 23.2 peratus direkodkan menerima gaji RM5,000 dan ke atas.
“Peningkatan ini menunjukkan komitmen universiti dalam membentuk graduan tersedia masa hadapan yang mampu bersaing dengan cabaran dan perkembangan teknologi terkini.
“Kelayakan akademik merupakan langkah pertama untuk para graduan memasuki alam pekerjaan. Namun, graduan juga perlu mengambil kira kemahiran insaniah selain membina jaringan sosial yang lebih luas.
“Kemahiran seperti kepimpinan, keusahawanan, kerja berpasukan yang diperoleh daripada aktiviti luar kelas dapat mempersiapkan graduan dengan situasi baharu,” katanya.
Konvokesyen kali ke-51 ini akan turut dimeriahkan dengan penganjuran Karnival Konvokesyen yang berlangsung di Dataran Panggung Seni bermula 24 hingga 30 November yang dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa-mahasiswi UKM.
“Penganjuran Karnival Konvokesyen adalah satu inisiatif agenda Pemerkasaan Mahasiswa di mana kuasa autonomi diberikan kepada mahasiswa dalam menguruskan aktiviti ini.
“Selain mengasah potensi keusahawanan dalam kalangan mahasiswa, program ini juga adalah sebahagian daripada usaha penjanaan dan agenda utama universiti yang perlu dilaksanakan secara bersepadu dengan penglibatan semua pihak,” katanya.
Pelbagai aktiviti menarik bakal menanti pengunjung sepanjang tujuh hari festival berlangsung antaranya Malam Larian Neon, pertandingan TikTok, persembahan, kebudayaan serta program kerohanian seperti Malam Rindu Ya Rasulullah dan Daie Siswa.