Oleh Murniati Abu Karim
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 16 Mac 2023 – Lebih 11,000 pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) layak menikmati Menu Siswa Rahmah pada harga serendah RM3.50.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif Menu Siswa Rahmah telah diperluaskan kepada kesemua 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan politeknik dalam negara turut memanfaatkan seramai 320,000 pelajar dalam kumpulan B40.
Tambahnya, inisiatif ini membabitkan sebanyak 235 gerai yang menawarkan makanan pada harga RM3.50.
“Di peringkat IPTA, memang mendapat sokongan dan telah pun ada usaha membantu pelajar miskin terutama golongan B40 supaya mereka tidak terjejas sepanjang melanjutkan pengajian mereka disebabkan kesusahan dan keperitan hidup,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Menu Siswa Rahmah lebih rendah daripada Menu Rahmah yang berharga RM5 dengan pihak universiti membantu dari segi tidak mengenakan kos sewaan kepada peniaga.
“Untuk Menu Rahmah juga memang ada RM5 disediakan di IPTA, tetapi itu untuk pensyarah atau sesiapa sahaja yang nak makan menu tersebut,” katanya.
Beliau turut meluangkan masa beramah mesra bersama pelajar sambil menikmati makan tengah hari Menu Siswa Rahmah di Kafe Randau Rasa, UKM.
Naib Canselor UKM, Prof. Ts. Gs. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, Menu Siswa Rahmah adalah inisiatif Pusat Pengurusan Penjanaan (JANA@UKM) dan Pusat Hal Ehwal Pelajar.
“JANA@UKM yang menerajui dan menguruskan lantikan syarikat-syarikat yang sehingga kini telah mencapai sebanyak 32 unit kafeteria dan kiosk di UKM yang mendatangkan manfaat kepada seluruh warga universiti.
“Terdapat tujuh unit kafeteria dan kiosk yang menyediakan Menu Siswa Rahmah pada harga serendah RM3.50. “Manakala, hampir keseluruhan kafeteria dan kiosk menyediakan Menu Rahmah pada harga kurang RM5 sepinggan beserta minuman,” tambahnya.