Oleh Murniati Abu Karim
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 1 November 2023 – Perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul 1445H/2023 peringkat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menghimpunkan lebih dari 2,000 peserta dari 34 kontigen yang mewakili pusat tanggungjawab dan kolej kediaman di UKM.
Para peserta telah berarak sejauh tiga kilometer sambil berselawat keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman menekankan pentingnya penghayatan nilai-nilai keagamaan dan akhlak yang tinggi dalam menerajui pembangunan universiti ke arah kecemerlangan.
“Saya berharap agar sambutan Maulidur Rasul Peringkat UKM pada kali ini juga akan memberi kesedaran kepada kita semua agar sentiasa berusaha memperbaiki akhlak dan meneguhkan jati diri sebagai seorang muslim,seterusnya ianya dapat meningkatkan kefahaman agama seluruh warga UKM.
“Pembangunan universiti ke arah kecemerlangan memerlukan warga yang sentiasa menjiwai perjuangan besar nabi Muhammad SAW, supaya jiwanya sentiasa dinamik dan terkehadapan,” katanya.
Beliau juga mengajak mengamalkan sunnah Rasulullah yang mulia dalam kehidupan kita dengan beramal secara menyeluruh dan bersungguh-sungguh.
“Keperibadian dan akhlak Rasulullah mampu untuk memandu kita dalam memelihara sahsiah diri, agar kita menjadi umat yang disegani dan menjadikan inspirasi dalam memajukan diri.
“Manakala amalan pentadbiran yang ditunjukkan oleh Baginda pula boleh dijadikan panduan ke arah pembentukan universiti watan ini yang cemerlang dan terkemuka,” katanya.
Bertemakan Perpaduan Teras Malaysia Madani, sambutan Maulidur Rasul ini disambut dengan pelbagai pengisian aktiviti kerohanian seperti kuliah Cintakan Rasul, daurah serta pertandingan tilawah al-Quran, hafazan, syarahan dan nasyid.