Oleh Dania Arissa Muhamad Zaharin dan Dr. Velan Kunjuraman
Foto Nik Shah Nazran Syahril
IBOK (Terengganu), 5 Februari 2025 – Sebanyak lima orang pelajar Tahun 3 program Antropologi dan Sosiologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya melaksanakan projek komuniti di bawah anjuran Service Learning Malaysia (SULAM), yang memberikan impak positif kepada masyarakat setempat di Chukai, Terengganu.
Projek inovasi yang bertemakan “Bersama dalam Keprihatinan, Membina Kehidupan”, telah berlangsung selama tiga hari melibatkan pembinaan tiga ramp khas bagi kemudahan warga emas serta golongan orang kurang upaya (OKU) di sektar kawasan tersebut.
Projek pembinaan ramp ini dilaksanakan bertujuan untuk meningkatkan aksesibiliti bagi warga emas yang menggunakan kerusi roda serta OKU dan telah direka mengikut piawaian keselamatan bagi menjamin keselesaan serta keselamatan pengguna.
Selain itu, beberapa lampu solar turut dipasang di sekitar kawasan Masjid Batu 9, Ibok, Terengganu bagi meningkatkan pencahayaan di sekitar kawasan masjid, sekaligus membantu mengurangkan penggunaan elektrik dan menaik taraf tahap keselamatan di sekitar kawasan masjid.
Lebih menarik lagi, lima orang pelajar tersebut juga turut berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM4,000 bagi menampung keseluruhan kos pembinaan dan penambahbaikan peralatan tersebut.
Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada tugasan bagi subjek SKAA3153 Sosiologi Desa yang bertujuan untuk meningkatkan inovasi dan kreativiti pelajar dalam menjayakan projek yang berpotensi untuk memberi sumbangan dan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh komuniti setempat, khususnya komuniti desa.
Ketua Pengarah Projek, Fakhrurraziey Azrimi berkata projek itu telah membuka mata mereka terhadap keperluan sebenar komuniti tempatan dan memberikan pengalaman bermakna dalam melaksanakan kerja lapangan.
“Kami berharap inisiatif seperti ini dapat diteruskan dan menjadi inspirasi kepada pihak lain untuk menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dan masyarakat setempat,” katanya.
Projek komuniti ini turut disempurnakan oleh wakil pengurusan Masjid Batu 9, Ibok, yang menyambut baik inisiatif para pelajar UKM dalam membantu memperkasa kemudahan awam bagi kegunaan jemaah dan komuniti setempat.