Oleh Fakulti Pendidikan / Asmahanim Amir
Foto Fakulti Pendidikan
BANGI, 20 Jun 2023 – Pemeteraian Surat Hasrat (LoI) antara Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Universiti Oulu, Finland baru-baru ini bakal meningkatkan hubungan kerjasama dan perkogsian pintar dalam bidang pengurusan pentadbiran pendidikan antara kedua-dua universiti.
Majlis pemeteraian LoI itu diadakan bersama Bengkel Pembangunan Pentadbiran Pendidikan di Finland, yang diadakan pada 5 hingga 9 Jun 2023, di universiti tersebut.
Majlis pemeteraian dokumen LoI itu diwakili oleh Dr. Aida Hanim A. Hamid, yang merupakan pensyarah fakulti merangkap pengarah Pusat Jaringan Industri dan Komuniti (IKOM-UKM) manakala Universiti Oulu diwakili oleh pengarah Sekolah Latihan Keguruan, Dr. Kari Kumpulainen.
Pemeteraian LoI itu turut disaksikan oleh Duta Malaysia di Finland, Tuan Yang Terutama John Samuel. Dua lagi wakil dari Fakulti Pendidikan yang turut bersama-sama adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat (HEJIM), Dr. Khairul Azhar Jamaludin dan Ketua HEJIM, Dr. Syar Meeze Mohd Rashid.
LoI yang ditandatangani itu juga adalah sebagai permulaan kepada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) yang akan diadakan tidak lama lagi.
Melalui kerjasama ini, ia diharap dapat meningkatkan lagi kualiti latihan pengurusan pendidikan yang lebih baik pada masa akan datang.
Dalam perkembangan yang sama, Bengkel Pembangunan Pentadbiran Pendidikan yang diadakan di universiti tersebut telah menghimpunkan warga pendidik dari beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, India, Jepun, Maldives, Emiriah Arab Bersatu dan Serbia, selain beberapa wakil dari Kementerian Pendidikan Malaysia.
Bengkel itu diadakan bagi berkongsi ilmu pengajaran dan pendidikan selain menjadikan Diplomasi Pendidikan sebagai salah satu asas yang kukuh kerjasama antara negara-negara yang terlibat.