Mahasiswa Diberi Pendedahan Mengenai Kepentingan CPR

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Fakulti Perubatan

BANGI, 28 Oktober 2023 – Seramai 80 orang mahasiswa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang terdiri daripada pelbagai fakulti dan institut menyertai Kempen Kesedaran CPR 2023 bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman umum mengenai kepentingan Cardiopulmonary Resuscitation (CPR).

Program ini merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh Jabatan Anestesiologi Fakulti Perubatan UKM dengan kerjasama Pusat Kesihatan UKM.

CPR adalah satu prosedur kecemasan yang dilakukan apabila seseorang mengalami henti jantung atau henti pernafasan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md Jamil menjelaskan kepentingan CPR dalam situasi kecemasan.

“Prosedur ini melibatkan beberapa langkah-langkah yang harus diikuti untuk menyelamatkan nyawa.

“Ini termasuk memberikan tekanan pada dada dan pernafasan mulut ke mulut untuk menyokong fungsi jantung dan paru-paru sehingga bantuan perubatan lebih lanjut boleh diberikan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa keperluan untuk memahami dan mempelajari CPR adalah sesuatu inisiatif penting bagi membina sebuah masyarakat yang prihatin, bertanggungjawab dan sentiasa sedia.

Dengan teknik, kemahiran dan ilmu pengetahuan tentang CPR yang betul, mangsa yang terlibat boleh diselamatkan dalam tempoh masa yang dianggap kritikal, jelasnya.

“Keperluan untuk mempelajari teknik CPR sini tidak boleh diambil remeh kerana serangan jantung dan masalah pernafasan adalah penyakit kritikal dan menjadi penyebab utama kematian mengejut di seluruh dunia dan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja.

“Kajian menunjukkan bahawa mereka yang menerima CPR lagi awal, mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk meneruskan hidup.” Katanya.

Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren juga mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur yang telah mengambil inisiatif untuk membawa isu kesedaran CPR dalam memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai langkah-langkah awal yang boleh diambil bagi menyelamatkan nyawa.

Leave a Reply