Berita dan foto oleh UKM-GSB
KAJANG, 20 Februari 2023 – Mahasiswa Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) mengambil inisiatif dengan mengumpul sumbangan bagi menjayakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Penjara Wanita Kajang, baru-baru ini.
Program CSR untuk Projek “Creating Income Opportunities” (C.I.N.T.A) UKM-GSB itu telah menarik minat sembilan syarikat untuk menyumbang dengan jumlah sumbangan adalah bernilai RM52,286.22.
Pengarah Projek CINTA UKM-GSB, Dhiya Syazana Safra berkata antara objektif utama penganjuran Projek CINTA UKM-GSB adalah untuk membantu Penjara Wanita Kajang menambahbaik kemudahan serta peralatan program kemahiran untuk banduan dalam penjara tersebut.
“Dengan penggantian dan penambahan peralatan baharu melalui hasil sumbangan projek ini, jumlah pengeluaran produk dijangka dapat ditingkatkan sekaligus menjana peningkatan hasil jualan,” katanya.
Program CSR itu merupakan kolaborasi pertama antara Penjara Wanita Kajang bersama kumpulan pelajar universiti melibatkan pemberian sumbangan berupa peralatan dan kelengkapan lain (aset).
Menurut beliau, keputusan untuk memberi fokus penambahbaikan dan penggantian peralatan program kemahiran pembuatan kek, biskut dan produk makanan sejuk beku (frozen-food) diambil selepas beberapa siri perbincangan dan lawatan tapak diadakan bersama pihak penjara.
Timbalan Dekan (Akademik) UKM-GSB, Dr. Mara Ridhuan Che Abdul Rahman berkata kejayaan pelaksanaan projek CSR tersebut menjadi salah satu elemen indikator tahap kompetensi pelajar dalam bidang pengurusan yang mencakupi segala aspek, antaranya daya kepimpinan, pengurusan masa, pengurusan sumber, pengurusan kewangan, pengurusan projek dan lain-lain.
“Dalam masa yang sama, para pelajar juga dapat membina jaringan kerjasama (networking) dengan pelbagai pihak selain memberi pendedahan melalui pembelajaran tidak formal.
“Kolaborasi bersama Jabatan Penjara Malaysia ini dilihat sebagai peluang ke arah kerjasama yang lebih erat pada masa akan datang,” ujar beliau.
Sementara itu, menurut Pengarah Penjara Wanita Kajang, PKK Zalina Mohd Yunus, kolaborasi antara Penjara Wanita Kajang dan UKM-GSB dilihat mampu memberi manfaat kepada penghuni penjara dalam memenuhi hasrat kerajaan untuk mengembangkan latihan kemahiran bagi memenuhi standard Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Kebangsaan.
Tambah beliau, jalinan kerjasama yang erat melalui gabungan semua entiti penting ini dilihat menjadi prasyarat untuk menggapai misi nasional.
Selain itu, ia juga dapat meningkatkan kesejahteraan penghuni penjara dalam merealisasikan konsep Penjara Sejahtera.
“Kita tidak boleh menafikan fakta bahawa mereka (banduan) juga adalah sebahagian daripada kita. Penghuni penjara wajar mendapat peluang kedua untuk memperbetulkan kesilapan lampau dan meneruskan kehidupan.
“Mereka yang benar-benar sudah insaf dan ingin berubah cukup ramai, dan dengan latihan serta kemahiran yang diperoleh, sudah tiba masanya golongan yang kurang bernasib baik ini diterima sebagai aset dan kekuatan baharu negara,” katanya.
Pengarah Urusan Syarikat Royan Trading Sdn. Bhd., Dato’ Royfaizal Razali Chong menjadi penaja utama untuk Projek CINTA UKM-GSB selepas memberi sumbangan sebanyak RM20,751, disusuli oleh wakil syarikat Malakoff Corporation Berhad yang memberi sumbangan RM 10,000, Pembinaan Tetap Teguh Sdn. Bhd. (RM5,000) dan Al Isra’ Group dengan nilai sumbangan RM 4,000. Wakil-wakil syarikat penaja dan penyumbang lain juga turut hadir dalam majlis tersebut iaitu Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS), Kyut Skin (Wisma Nini Comei), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), SJ Rich Enterprise, Nik Ikhwan & Co. dan The Dutchess Kitchen.