Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi
PUTRAJAYA, 28 Mac 2024 – Majlis berbuka puasa Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional (UKMShape) tidak hanya mengeratkan silaturahim bukan sahaja antara umat Islam, tetapi melibatkan semua lapisan masyarakat berbilang bangsa.
Menurut Pengarah UKMShape, Prof. Datuk Dr. Muhammad Hussin, penganjuran majlis ini melibatkan jemputan yang terdiri daripada pelbagai kaum.
“Majlis seumpama ini sangat dituntut oleh Islam bagi merapatkan ukhuwah antara kita tidak kira bangsa dan agama, khususnya dalam kalangan warga UKMShape,” katanya.
Pada majlis ini juga, turut diadakan penyampaian bantuan Aidilfitri kepada 10 orang staf UKMShape yang memerlukan dengan harapan dapat meringankan beban persediaan untuk menyambut Hari Raya nanti.
“Kita sedar bahawa terdapat sebilangan yang kurang berkemampuan dan ditambah pula dengan peningkatan kos sara hidup sejak akhir- akhir ini.
“Bantuan yang disampaikan pada hari ini merupakan salah satu inisiatif yang diambil untuk membantu staf UKMShape,” tambahnya.
Majlis turut dimeriahkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak; Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman dan Ahli Lembaga Pengarah UKM, Dato’ Dr. Mohd Zaidi Md Zain @ Zakaria.