Masalah Suara Jejas Kualiti Hidup

Oleh Murniati Abu Karim
Foto NIOSH

BANGI, 2 Jun 2023 – Kajian menunjukkan bahawa mereka yang menghidap masalah suara mempunyai kualiti hidup yang lebih buruk berbanding dengan penyakit kronik yang lain, kata Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Ts Dr. Norazah Mohd Nordin.

“Seringkali kita tidak memberikan perhatian yang cukup kepada kesihatan suara kita yang mengakibatkan masalah atau penyakit yang mengganggu fungsi suara seterusnya kualiti hidup.

“Oleh itu, kesihatan suara harus diberikan perhatian yang serius untuk memastikan suara berfungsi dengan baik sepanjang masa, terutamanya golongan professional yang menggunakan suara sebagai sebahagian dari pekerjaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Suara Nadi Kehidupan yang dianjurkan bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) sempena ‘Hari Suara Sedunia’.

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Jaringan, Industri dan Masyarakat), Fakulti Perubatan UKM, Profesor Datin Dr Marina Mat Baki berkata, fokus utama program untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai penjagaan peti suara dan faktor yang boleh menyebabkan kerosakan atau memberi risiko mengakibatkan kanser kepada organ itu.

“Peti suara amat penting untuk percakapan dan pernafasan yang juga nadi kehidupan. Oleh itu, penyebaran maklumat secara berkesan dan kreatif seperti ini amat penting agar orang ramai faham mengenai langkah penjagaan peti suara yang berkesan.

“Melalui pelbagai aktiviti dijalankan, kami berharap ia dapat menimbulkan kesedaran mengenai masalah berkaitan peti suara yang seharusnya menjadi satu aspek keselamatan yang perlu dititikberatkan,” katanya.

Program itu dirasmikan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar di Dewan Tan Sri Lee Lam Thye, NIOSH.

Pada majlis tersebut, penyanyi yang juga jurulatih vokal terkenal tanah air, Datuk Shafinaz Selamat turut mengendalikan forum khas bertajuk ‘Suara untuk Bekerja dan Kerja untuk Suara’.

Leave a Reply