Menyingkap Sejarah Kegemilangan dan Kejatuhan Tamadun Islam

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman

BANGI, 15 Februari 2025 – Kegemilangan tamadun Islam suatu ketika dahulu yang menjadi pemangkin kepada kemajuan sains, teknologi dan kepimpinan wajar dicontohi.

Menurut Profesor Ikhtisas Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), Datuk Dr. Kamarudin Min, para ilmuwan Islam telah menghasilkan pelbagai penemuan penting dalam bidang astronomi, perubatan, matematik, muzik, dan navigasi.

“Contohnya, Al-Zahrawi telah menjalankan pembedahan moden pertama di dunia iaitu pembedahan batu karang. Beliau juga menghasilkan buku mengenai ilmu perubatan yang mengandungi bab khusus tentang pembedahan.

“Sebahagian besar manuskrip perubatan yang ditulis dalam bahasa Arab dan diterjemahkan kepada Bahasa Latin contohnya, Ibnu Sina, yang namanya dilatinkan menjadi Avicenna.

“Dalam bidang astronomi pula, para ilmuwan Islam seperti Al-Khwarizmi menghasilkan jadual pergerakan matahari, bulan, dan lima planet yang diketahui pada waktu itu,” katanya ketika menyampaikan Syarahan Umum yang bertajuk ‘Islamic Science Ahead of Time – The Golden Age (762CE-1258): A Comparative Leadership and Great Empires in Crisis and Lessons Learnt’.

Menurutnya, antara penemuan dan pencapaian lain dalam tempoh ini termasuklah inovasi alat navigasi seperti kompas dan astrolab bagi membantu pelayaran serta menentukan arah kiblat, sistem angka Arab, pecahan perpuluhan, dan geometri serta penghasilan alat muzik.

Tambahnya, inovasi, teknologi, dan penemuan sains yang lahir daripada sarjana Islam sepanjang 800 tahun pemerintahan Islam di Andalusia harus dihargai.

Namun, zaman kegemilangan tamadun islam di Andalusia berakhir apabila Conquistador, di bawah pimpinan Ratu Isabella I dari Castile dan Raja Ferdinand II dari Aragon, melancarkan Inkuisisi Sepanyol.

“Melalui dekri diraja pada tahun 1492 dan 1502, mereka mengambil alih Andalusia dengan memaksa penduduknya memeluk agama Kristian.

“Antara punca kejatuhan yang lain adalah masalah integriti, di mana berlaku keretakan kepercayaan antara rakyat dan pemerintah. Tiada kejujuran dalam pengurusan khazanah negara, menyebabkan hasil kekayaan disorok dan tidak dimanfaatkan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor berkata syarahan umum ini memberi peluang kepada warga universiti untuk memahami prinsip kepimpinan yang dapat diaplikasikan dalam pelbagai bidang, terutama sekali pendidikan.

“Kepimpinan yang berwawasan yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin Islam dalam menghadapi krisis dan mengembangkan ilmu pengetahuan adalah sangat relevan untuk diterapkan dalam pengurusan universiti masa kini.

“Melalui refleksi terhadap kepemimpinan dalam zaman keemasan Islam, para pensyarah dan staf diharapkan dapat menilai semula pendekatan mereka terhadap kepimpinan akademik dan pentadbiran,” katanya.

Leave a Reply